LCS TLDM: Tuduhan Rafizi terhadap PAS tersasar jauh

- Advertisement -

KENYATAAN yang telah dikeluarkan oleh Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli di media sosial beliau dengan mengaitkan parti PAS berharap isu skandal kapal tempur pesisir (LCS) TLDM akan senyap begitu sahaja merupakan tuduhan jahat yang tidak berasas, bahkan meletakkan beliau selaku ahli politik yang gelojoh . 

PAS tetap dengan pendirian parti yang memperjuangkan prinsip keadilan dan kebajikan rakyat termasuklah perkara berkaitan projek dan perolehan yang melibatkan pertahanan negara. 

Buktinya, kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, YB Senator Ir Khairil Nizam Khirudin merupakan pendirian PAS Pusat berkaitan hal ini meskipun mendapat respon kritikan balas oleh rakan-rakan dari parti lain.

Malahan, saya bersama-sama Ketua Pemuda PAS Pusat, YB Ahmad Fadhli Shaari yang merupakan Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) lantang dan bersuara apabila isu tersebut didedahkan kepada rakyat dan masyarakat awam melalui laporan PAC yang lepas. 

Selaku wakil dari PAS, kami  turut menyampaikan pandangan dan maklum balas kepada pihak kerajaan termasuk agensi pendakwaan SPRM berkenaan isu besar ini melalui media-media sosial dan cetakan akhbar tempatan demi melaksanakan amanah rakyat. Paparan tersebut adalah seperti berikut:

1.“Hal-hal menggusarkan dalam projek LCS”- https://m.malaysiakini.com/news/632874
2.“Bring those responsible for LCS scandal to justice, says Sik MP”– https://www.thestar.com.my/news/nation/2022/08/09/bring-those-responsible-for-lcs-scandal-to-justice-says-sik-mp
3. “Dedahkan skandal LCS, heret pelaku ke muka pengadilan”-https://www.sinarharian.com.my/article/215933/berita/nasional/dedahkan-skandal-lcs-heret-pelaku-ke-muka-pengadilan
4. Isu LCS: Ahmad Fadhli tegur sikap penyokong ‘parti tertentu’-https://www.malaysiakini.com/news/632122

Dalam prosiding PAC, saya sendiri mencadangankan kepada JK PAC supaya diadakan lawatan dan prosiding penyiasatan di tapak pembinaan kapal LCS ke Boustead Naval Shipyard, Lumut Perak tahun lalu. 

Rafizi seharusnya lebih arif dalam membincangkan perkara pokok iaitu isu berkaitan kelewatan perolehan LCS ini, bukan hanya berpolitik populis sepanjang masa tanpa menghiraukan kesahihan fakta tersebut. 

Sehingga kini, saya dan ahli jawatankuasa PAC masih bertungkus-lumus dalam melengkapkan laporan yang lengkap termasuk Taklimat Laporan Penuh Pengauditan Forensik, Perolehan Kapal Peronda Generasi Kedua – LittoralCombatant Ship (LCS) Bagi Tentera Laut Diraja Malaysia yang diadakan pada 26 September 2022 lalu. 

Saya mengambil pendirian bahawa kecurian, kehilangan duit rakyat  yang melibatkan kegagalan urusan perolehan kerajaan ini mesti ditentang habis habisan bahkan sesiapa sahaja yang terlibat tanpa mengira pangkat dan darjat harus dibawa ke muka pengadilan. 

Mengambil kira pelbagai maklumat dan pengajaran daripada isu ini maka pihak PAC sangat teliti dalam memberikan laporan dan pengsyoran yang terbaik supaya kegagalan seperti ini tidak lagi berulang bagi perolehan–perolehan kerajaan akan datang.

Dalam konteks mencari kebenaran dalam Islam, orang yang beriman harus mengambil sikap tidak terburu-buru untuk menyebarkan berita yang didengarinya, apatah lagi berita yang diterima daripada sesuatu pihak.

Justeru, saya memohon agar Timbalan Presiden PKR tersebut berfikiran lebih matang dan tidak terlalu ghairah mencari populariti tanpa membuat usul periksa yang lebih teliti sebelum membuat sebarang kenyataan. 

Sekian.

YB AHMAD TARMIZI SULAIMAN 
Ahli Parlimen Sik / Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) – HARAKAHDAILY 1/10/2022

- Advertisement -
- Advertisement -