Impian PAN dilabel parti Islam tidak lagi kedengaran

Datuk Idris Ahmad
- Advertisement -

BESUT: Bekas pemimpin dan ahli PAS yang keluar daripada parti itu semua sedia maklum mereka sekarang tidak ke mana-mana biarpun menubuh parti lain bagi meneruskan perjuangan.

Naib Presiden PAS, Senator Datuk Idris Ahmad berkata, situasi itu berlaku kepada mana-mana pemimpin yang keluar daripada parti.

Katanya mereka mengambil langkah keluar daripada PAS dengan mengandaikan pandangannya lebih baik dan relevan berbanding pemimpin lain.

- Advertisement -

“Ia berlaku sejak dahulu sehingga sekarang termasuk bekas-bekas pemimpin PAS dengan mewujudkan parti baharu yang dikenali Parti Amanah Negara.

“Mereka menubuh Amanah dengan impian menggantikan PAS sebagai parti Islam di negara ini. Malah sebelum ini mereka mendakwa memiliki ratusan ribu penyokong di seluruh negara.

“Sekarang impian mahu menggantikan PAS sebagai parti Islam tidak lagi kedengaran. Malah ia tenggelam begitu sahaja. Pada pilihan raya lepas Amanah hanya menang di kawasan majoriti bukan Melayu dan Islam,” katanya ketika menjawab soalan peserta Ijtimak Tarbawi 8.0 di sini hari ini.

Ijtimak tersebut diadakan di Kompleks Pendidikan Tahfuz An Nur Jertih. Ribuan pemuda dan Ameerah memenuhi masjid dan khemah terbuka yang disediakan di ruang belakang masjid.

Idris yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, pada pilihan raya negeri di Melaka dan Johor sebelum ini Amanah hanya mampu bertahan di kawasan majoriti bukan Melayu.

Menurutnya juga sikap wala’ begitu penting dalam perjuangan dengan mematuhi setiap keputusan yang dibuat biarpun ada yang mengandaikan pandangan mereka lebih hebat.

Begitu juga katanya ketika PAS membuat keputusan mengadakan kerjasama dengan Semangat 46 menjelang pilihan raya umum 1990 sehingga ada yang tidak setuju dan mengambil keputusan keluar daripada parti.

“Situasi itu juga berlaku ketika PAS menjalin kerjasama dengan PKR dan Pakatan Rakyat menjelang PRU 1999 ada pemimpin dan ahli yang menentang. Namun sekarang kita boleh tengok sendiri kedudukan mereka,” katanya.

Menjawab soalan berkaitan RUU 355 kata Idris usaha itu dalam proses tindakan kerajaan sebelum ia dibentang di Dewan Rakyat untuk mendapat kelulusan.

Kata beliau perkara itu juga dalam tindakan pejabat Peguam Negara sebelum dibincang dalam kabinet untuk mendapat kelulusan sebelum dibawa ke Parlimen.

Malah katanya juga kerajaan mewujudkan dua jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah dan Jawatankuasa Memperkasakan Syariah yang menggambarkan kesungguhan kerajaan sekarang mahu memartabatkan kedudukan Islam di negara ini. – HARAKAHDAILY 1/10/2022

- Advertisement -