Bolehkah Yang di-Pertuan Agong tolak cadangan bubar Parlimen?

JIKA Yang di-Pertuan Agong (YDPA) pernah menolak nasihat PM dan Kabinet untuk mengisytiharkan darurat pada bulan Oktober 2020, maka tidak mustahil baginda juga menolak pembubaran Parlimen, jika dinasihati oleh Perdana Menteri (PM) dalam masa terdekat ini.

Khabar kemungkinan PM akan menasihati YDPA untuk pembubaran Parlimen semakin bertiup kencang. Desakan dari Umno ke atas PM untuk pembubaran kelihatan amat kuat. Walaupun Kabinet dilaporkan tidak setuju, tidak mustahil PM akan bertindak juga mengikut kehendak partinya.

Jika berlaku demikian, adakah YDPA mesti membubarkan Parlimen?

Advertisement

Jika mengikut konvensyen Perlembagaan dan kefahaman peruntukan Perlembagaan secara literal, jawapannya ya! Pembubaran Parlimen di bawah Perkara 55(2) termasuk dalam urusan yang dilaksanakan oleh YDPA atas nasihat PM berdasarkan Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan. Berbeza dengan pembubaran akibat hilang sokongan majoriti di bawah Perkara 43(4) dan 40(2)(b) yang boleh dilakukan atas budibicara YDPA.

Namun, dalam situasi semasa jika PM menasihati YDPA untuk pembubaran Parlimen, terdapat kemungkinan amalan biasa itu tidak berlaku. Ada beberapa perkara yang wajar dilihat bagi memahami situasi ini:

Pertama: Tidak seperti sebelum ini, PM kini tidak mewakili sesebuah parti atau gabungan parti secara solid. Sebelum ini, nasihat PM secara individu dianggap mewakili Kabinet tanpa perlu dipersoalkan. Namun kini, jika PM menasihati YDPA untuk pembubaran Parlimen, ia belum mewakili keseluruhan anggota jemaah Menteri yang mewakili kerajaan. Maka nasihat PM mungkin ditolak atas alasan ia tidak dibuat secara kolektif sedangkan perlembagaan memberikan penekanan kepada konsep ‘tanggungjawab bersama’ atau ‘collective responsibility’ (Perkara 43(3))

Kedua: Sebagaimana keputusan YDPA menolak nasihat pengisytiharan darurat berteraskan kepentingan awam, maka tidak mustahil nasihat PM untuk pembubaran Parlimen juga ditolak berasaskan kepentingan awam. Kepentingan awam boleh merujuk kepada beberapa faktor termasuklah ketidaksesuaian pilihan raya umum dilaksanakan pada musim tengkujuh, dan pembaziran jika pilihan raya umum di peringkat Parlimen tidak berjalan serentak dengan pilihan raya umum Dewan Undangan Negeri di beberapa negeri.

Ketiga: Tindakan YDPA yang mungkin tidak membubarkan Parlimen serta merta walau pun selepas dinasihati Perdana Menteri tidak boleh dipersoalkan di mana-mana mahkamah (Perkara 32).

Keempat: Pembubaran Parlimen yang menyebabkan rakyat terpaksa mengundi sewaktu musim tengkujuh dan pilihan raya umum sebelum urusan Belanjawan Negara tidak disempurnakan dengan baik oleh kerajaan, serta risiko pembaziran akibat pilihan raya yang tidak serentak adalah satu langkah yang tidak popular dan bertentangan dengan sentimen umum rakyat. Sebarang tindakan YDPA yang selari dengan kehendak rakyat  sukar dipersoalkan walau pun ia kelihatan luar biasa.

Kelima: Mutakhir ini muncul beberapa pandangan yang cenderung untuk melihat Perlembagaan Persekutuan ditafsir secara lebih dinamik khususnya berkaitan dengan konsep nasihat, dengan mengambilkira kuasa-kuasa YDPA yang bersifat budibicara, kuasa asal dan seumpamanya. Pendekatan sedemikian turut dikemukakan oleh pakar perlembagaan tersohor, Prof Shad Faruqi antaranya dalam tulisan berikut https://www.thestar.com.my/opinion/columnists/reflecting-on-the-law/2022/09/19/issues-on-dissolution-of-parliament

Maka, atas lima faktor di atas, saya menjangkakan tidak mustahil nasihat pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri akan ditolak, jika ia benar-benar berlaku. Adalah lebih baik bagi Perdana Menteri untuk mengutamakan keputusan kabinet berbanding keputusan partinya.

Waktu yang baik untuk mengadakan pilihan raya ialah selepas selesai musim tengkujuh dan selepas Belanjawan dapat dilaksanakan sekurang-kurangnya tiga atau empat bulan.

Dalam situasi pelbagai parti menguasai kerajaan-kerajaan negeri, maka langkah yang paling tepat ialah mewujudkan persefahaman dengan parti-parti berbeza berkaitan waktu pembubaran Parlimen dan Dewan-dewan Undangan Negeri.

Sama-sama kita doakan agar pemerintah dan pemimpin negara kita sentiasa diberi petunjuk oleh Allah SWT untuk membuat keputusan yang terbaik demi maslahah agama, rakyat dan negara.

MUHAMMAD FATHI YUSOF
Gombak
1 Oktober 2022 – HARAKAHDAILY 1/10/2022