PRU15: PN optimis tawan Perlis

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

- Advertisement -

KANGAR: Perikatan Nasional (PN) Perlis optimis menawan Perlis pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU 15) akan datang.

Setiausaha Agung PN, Dato’ Seri Hamzah Zainuddin berkata, Perlis berupaya ditawan PN dengan pertambahan sokongan bukan bumiputera yang direkodkan menjelang PRU15.

“Ramai yang pada asalnya tidak berapa yakin, tetapi hari ini saya hadir untuk meyakinkan mereka bahawa kita berupaya menawan Perlis.

“Kita bukan hanya menubuhkan ahli bersekutu, tetapi juga ramai di kalangan bukan bumiputra yang menyertai kita dan saya juga rasa amat bangga kerana kita dapat buktikan yang pemimpin PN tidak boleh dipersoal dari segi intergriti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pertemuan Khas Bersama Barisan Kepimpinan PN Negeri Perlis di Hotel Seri Malaysia di sini pada Khamis (29 Sept).

Beliau juga turut memberi bayangan calon Menteri Besar dari PAS sekiranya PN berjaya menawan Perlis.

“Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengakui kedudukan PAS sebagai ‘abang’ kepada gabungan itu di Perlis, justeru, mereka (PAS) perlu memimpin Bersatu dengan sebaiknya.

“Saya sebut abang sebab kita bagi sokongan kepada pemimpin PAS yang akan kita kekalkan untuk pimpin negeri ini, jadi tidak salah jika abang kita dari PAS yang akan jadi Menteri Besar di Perlis,” katanya.

Turut hadir Pengerusi PN Negeri, Mohd Shukri Ramli merangkap Pesuruhjaya PAS Perlis dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu, Abu Bakar Hamzah.

Antara lain, Hamzah turut mengingatkan semua anggota PN agar tidak menghebahkan strategi parti dimedia sosial bagi menggelakkan pihak lawan mengambil kesempatan.

“Apa yang penting, kita kenali dan percaya antara satu sama lain di samping mewujudkan kerjasama bagi membuktikan PN dapat menawan negeri Perlis,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/9/222

- Advertisement -