Perang Ukraine mendedahkan sikap hipokrit barat

- Advertisement -

SALAH satu cabaran besar dalam menangani ahli politik Barat ialah sikap dwi standard dan hipokrasi mereka yang terang-terangan dalam menangani krisis dunia seperti di Ukraine, Palestin, Syria dan Libya.

- Advertisement -

Begitu juga warga yang berada di Dunia Islam dan negara membangun, pandangannya amat berbeza dengan warga di Washington, London, Berlin dan Paris.

Maka disebabkan itulah Dunia Islam dan negara membangun acapkali menempelak sikap hipokrasi Barat. Ketika ini, Barat menyeru komuniti dunia untuk bersama menentang pencerobohan Rusia ke atas Ukraine sebagai satu pencerobohan terang-terangan terhadap jiran yang aman dan melanggar undang-undang antarabangsa termasuk piagam PBB.

Tetapi apa yang gagal atau ‘sengaja’ tidak mahu difahami oleh ramai ahli politik Barat ialah bagaimana Dunia Islam dan negara membangun melihat layanan dwi standard dan hipokrasi Barat terhadap Palestin, Syria, Iraq dan Libya berbanding layanan yang diberikan terhadap Ukraine.

Apabila Dunia Islam dan negara membangun melihat pelarian Ukraine menyeberang ke Poland dan negara-negara Eropah, mereka memikirkan nasib pelarian Syria dan Libya yang melarikan diri ke Lubnan, Jordan, Turki dan majoritinya ke negara-negara Eropah.

Rakyat Palestin dan Iraq terpaksa pula terus bergelumang meneruskan hidup di samping runtuhan-runtuhan bangunan termasuk yang sekian lama telah menjadi pelarian di seluruh dunia.

Layanan yang diterima pelarian Ukraine dan pelarian dari negara Dunia Islam di Eropah adalah amat berbeza. Pelarian dari Ukraine diberikan layan kelas satu dan amat dialu-alukan namun pelarian dari negara Dunia Islam terpaksa menghadapi sikap anti imigran dan anti Islam.

Namun apa yang paling mengejutkan adalah kepantasan sekatan yang dikenakan ke atas Rusia dan kekerapan diperketatkan sekatan tersebut, berbeza dengan kekurangan akauntabiliti dan manfaat yang diperolehi regim zionis Israel daripada penindasannya terhadap rakyat Palestin.

Regim zionis Israel sudah lebih 70 tahun menjajah Palestin. Barat menuduh Iraq menghasilkan senjata pemusnah WMD serta tanpa mandat PBB terus menyerang Iraq sehingga lumpuh sebagaimana hari ini dan Barat hari ini masih ‘menjajah’ satu pertiga dari bumi Syria. Mengapa tidak dikenakan sekatan terhadap negara-negara yang melakukan perbuatan terkutuk ini?

Jika Rusia dikatakan tidak berperikemanusiaan menyerang dan menakluk wilayah Ukraine, apakah ia berbeza dengan perbuatan beberapa negara yang menjajah dan menyerang negara Islam serta mengapa tidak dikenakan sekatan ketat ke atas negara-negara tersebut?

Sebarang perbincangan mengenai sekatan ke atas regim zionis Israel bukan sahaja tidak dilayan tetapi dalam banyak kes ia diklasifikasikan sebagai perbuatan jenayah. Ketika ini Mahkamah Jenayah Antarabangsa telah memulakan penyiasatan terhadap potensi jenayah perang Rusia di Ukraine dengan sokongan kuat dari Barat.

Tetapi apabila Mahkamah Jenayah Antarabangsa mula mempertimbangkan untuk memulakan siasatan ke atas potensi jenayah perang yang dilakukan di Palestin oleh regim zionis Israel, ia dihalang dan ditentang secara terang-terangan.

Warga Palestin dikategorikan sebagai pengganas kerana menentang penjajahan regim zionis Israel dengan melemparkan ketulan batu ke arah tentera regim zionis Israel.

Mana-mana umat Islam yang membantu Palestin menentang penjajahan regim zionis Israel diklasifikasikan sebagai pengganas. Begitu juga dengan kumpulan pejuang Palestin yang mengangkat senjata menentang pejajahan regim zionis Israel diklasifikasikan sebagai organisasi pengganas.

Namun ketika ini Barat memaparkan diri mereka sebagai jaguh dan penyelamat dengan memberikan bantuan senjata bernilai berbillion dollar kepada Ukraine untuk menentang Rusia.

Barat turut menggalakkan warganya untuk turut sama menyertai tentera Ukraine mengangkat senjata menentang Rusia dan menggambarkan mereka sebagai ‘hero’ di mata dunia.

Saban tahun Barat menyediakan berbilion dolar bantuan ketenteraan kepada regim zionis Israel yang mana majoritinya digunakan untuk menzalimi, menyeksa, merampas dan meranapkan bumi Palestin.

Percayalah jika Rusia memberikan bantuan ketenteraan secara terang-terangan kepada Palestin, nescaya Rusia akan diklasifikan sebagai negara pendokong keganasan.

Adakah ini yang dikatakan keadilan dan ketelusan demokrasi yang saban hari diperjuangkan oleh Barat? Jika mengambil kira apa yang berlaku di Afrika selama ini yang telah dizalimi, ditekan dan dijarah hasil bumi mereka, sudah tentu kita percaya bahawa sebenarnya tidak ada takrifan keadilan ke atas apa yang berlaku ke atas negara Dunia Islam dan negara-negara menbangun termasuk Afrika.

Sikap dwi standard dan hipokrasi ini perlu ditamatkan. Dunia memerlukan ketelusan, keseimbangan, kestabilan dan keadilan yang saksama untuk semua tanpa mengira agama, kaum, bangsa dan warna kulit.

Oleh itu dunia perlu berubah dan perubahan ini dipercayai sedang berlaku untuk menamatkan cengkaman unipolar Barat kepada dunia multipolar untuk kesejahteraan semua.

Hanya masa dan keadaan yang mampu menentukan bila ia akan berlaku, Inilah masanya Dunia Islam perlu bersatu dan berkerjasama untuk bangkit semula serta mengembalikan kegemilangan Islam yang telah sekian lama berada dalam kegelapan baik dari sudut ketamadunan, peradaban dan ekonomi.

Semoga Allah SWT memberikan kekuatan dan keazaman kepada kita semua untuk mengembalikan keagungan dan kegemilangan Islam di mata dunia.

Malaysia Sejahtera

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk. – HARAKAHDAILY 30/9/2022

- Advertisement -