Pengeluaran keledek ditingkat secara komersil

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

BACHOK:
Kerajaan berhasrat untuk meningkatkan skala pengeluaran keledek secara komersil menerusi pelancaran pakej mekanisasi ladang.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Dato’ Seri Hamzah Ahmad berkata, usaha itu selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2.0 (2021-2030).

Katanya, penanaman keledek diusahakan secara kecil-kecilan petani di luar bandar kerana ia tidak memerlukan kos input pertanian yang tinggi.

- Advertisement -

“Kini dengan adanya pakej mekanisasi mampu meningkatkan produktiviti pengeluaran, pendapatan dan taraf hidup petani.

“Selain itu memberi jaminan bekalan dalam sektor pertanian dan dapat mengurangkan kebergantungan bekalan import dan menjimatkan kos buruh,” katanya pada pelancaran Tanaman Ubi Keledek serta Lawatan Plot Penyelidikan Bawang di Mardi Bachok semalam.

Hadir sama Ketua Pengarah MARDI, Dato Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri, Abdul Azziz Kadir.

Sementara itu MARDI membangunkan pakej mekanisasi ladang dan baja fertigasi bagi pengeluaran keledek.

Ketua Pengarahnya, Dato’ Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata pihaknya akan memastikan hasrat kerajaan untuk melihat industri tersebut berdaya saing.

Kata beliau menerusi pakej terbabit penggunaan jentera serta teknologi terkini sejak awal penanaman sehingga proses penuaian hasil ubi tersebut.

“Dengan penggunaan pakej ini kos operasi di ladang dapat dikurangkan sehingga 50 peratus secara keseluruhannya berbanding kos operasi secara manual.

“Ia melibatkan mesin penabur baja organik, mesin pembuat batas, mesin penanam, penyembur bermotor dan semburan drone serta mesin penuai,” katanya.

Dalam projek pembangunan Rancangan Malaysia Ke 12 (RMK12), MARDI mencipta formulasi baja dan sistem pengeluaran keledek secara fertigasi. – HARAKAHDAILY 30/9/2022

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!