Peminat Piala Dunia Qatar perlu jalani ujian Covid-19

Stadium Antarabangsa Khalifa, antara gelanggang Piala Dunia Qatar
- Advertisement -

Peminat bola sepak yang hendak menyaksikan Piala Dunia di Qatar, mesti mengemukakan bukti negatif ujian Covid-19 tanpa mengira status vaksinasi mereka.

Penganjur Piala Dunia menyatakan bahawa setiap pelawat berumur enam tahun ke atas mesti mengemukakan keputusan negatif daripada ujian PCR yang diambil dalam tempoh 48 jam sebelum berlepas atau ujian antigen pantas yang diambil dalam tempoh 24 jam sebelum tiba.

- Advertisement -

Keputusan ujian antigen pantas hanya akan diterima jika dibuat di pusat perubatan rasmi. Tiada ujian lanjut diperlukan di Qatar jika pelawat tidak mengalami gejala Covid-19.

Pelawat berumur 18 tahun dan ke atas juga dikehendaki memuat turun aplikasi telefon pengesanan kontak yang kerajaan kendalikan, iaitu Ehteraz.

“Status hijau Ehteraz (menunjukkan pengguna tidak mempunyai kes Covid-19) diperlukan untuk memasuki mana-mana ruang tertutup awam,” kata jurucakap berkenaan.

Peminat perlu memakai penutup muka ketika menggunakan pengangkutan awam, tetapi vaksinasi tidak diwajibkan untuk kemasukan 1.2 juta pelawat sepanjang kejohanan yang bermula 20 November hingga 18 Disember akan datang.

“Sesiapa yang didapati positif Covid-19 ketika berada di Qatar akan dikehendaki mengasingkan diri mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan Awam,” katanya.

Mengikut Kementerian Kesihatan Awam Qatar, negara itu merekodkan lebih 440,000 kes positif Covid-19 dan 692 kematian akibat virus itu.

Negara itu mempunyai 2.8 juta penduduk, tetapi hanya 380,000 orang adalah warga Qatar. Sebanyak 7,487,616 dos vaksin telah diberikan setakat ini.

- Advertisement -