Lawan PH PRU15: Bila Ku Li ‘menjentik’ Umno

- Advertisement -

RAMAI orang muda dalam PAS tidak pernah bersetuju dengan Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) dalam bab politik meskipun pernah berterima kasih padanya dalam isu tuntutan royalti minyak Kelantan satu ketika dahulu. 

Namun, kenyataan cerdik Ku Li yang menasihati partinya Umno hari ini cukup bagus. Paling tidak rakyat yang cintakan Perpaduan Ummah dan masih merasakan peritnya 22 bulan terpuruk di bawah kuasa PH, mahu bersetuju dengan pandangan waras dan rasional ini.

Ahli Parlimen Gua Musang paling lama ini menegaskan Umno perlu bekerjasama dengan parti lain untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti kerana menurut beliau, tindakan itu perlu kerana parti itu sudah tiada kekuatan seperti dahulu.

Ya, tiada kekuatan seperti zaman ‘selalu menang majoriti dua pertiga’ dahulu. Umno telah tewas selepas 60 tahun menerajui negara. Kembalinya mereka ke Putrajaya adalah hasil manis Perpaduan Ummah bersama BERSATU dan PAS serta beberapa parti lain. Meskipun kini memegang teraju Perdana Menteri, itu juga bukan petanda kuasa dan kekuatan Umno zaman dulu-dulu telah kembali.

Padang masih sama. Pemain semua tetap berbisa. Kerusi urban dan sub urban tetap menjadi kubu kuat PH. Kerusi campuran juga belum tentu dapat menjanjikan apa-apa buat semua pihak baik Umno, PAS, BERSATU, PKR dan lain-lain.

Rakyat menilai setiap butir kata dan ucapan pimpinan setiap parti. Semua itu akan diterjemah ke atas kertas undi tidak lama lagi.

Warasnya Ku Li dengan menyebut, “Kita (Umno) kena bekerjasama dengan orang lain kerana kita tidak ada kekuatan seperti dulu. Saya sudah cakap dulu kita mempunyai 13 rakan dalam parti sekarang banyak daripada anggota-anggota yang pernah menjadi rakan kita dalam Barisan Nasional (BN) sudah tarik diri”.

Ku Li dengan cukup sedar memahami bahawa partinya itu kini sedang berdepan dengan pelbagai isu, pemimpin yang turun naik mahkamah, bahkan sudah ada yang dikenakan tindakan. Ini membarah sehingga pemimpin lain sudah tidak mampu lagi untuk bertemu dan menjawab persoalan rakyat.

Jadi di mana kekuatan Umno?

“Orang-orang kita (Umno) nak masuk kedai kopi pun takut. Masuk kedai kopi diejek orang dan sebagainya. Kita nak solo? Baguslah kita jadi solo kalau kita kuat, tapi dah itu tempat yang tak kuat. Orang kita malu dan takut nak masuk ke kedai kopi, nak bercakap, berkempen mengenai parti kita, bukannya tak bersedia tetapi tidak boleh nak jawab banyak soalan yang ditimbulkan oleh rakyat, jadi mana kekuatan kita?”

Terima kasih Ku Li kerana menyedari ancaman kekalahan ini. Kalahnya Umno nanti jika memberi keuntungan kepada perjuangan ummah dan Islam tidak mengapa. Tetapi kita bimbang PRU15 ini nanti tiada satu pun parti majoriti umat Islam dan Melayu yang ke depan sekali gus memberi untung dan laba percuma sekali lagi kepada pakatan diketuai DAP.

Apa Umno fahami dengan ‘bergerak solo’?

Rakyat cukup pening dengan kenyataan pimpinan Umno itu dan ini apabila bercakap hal bergerak solo. Penyokong Umno ini sebenarnya faham atau tidak apa itu solo? Pernah atau tidak Umno solo?

Pernahkah Umno menang solo dalam sejarah panjang politik negara ini? Semuanya dilakukan secara rakan kerjasama dan parti-parti komponen sama ada Perikatan ataupun Barisan Nasional. Adakah Barisan Nasional itu membawa maksud Umno seorang sahaja? Atau lupakah mereka akan 13 hingga 16 parti komponen yang pernah bersama mereka dalam banyak siri PRU yang lalu.

Lebih teruk adalah mereka pernah kalah, menyungkur tersembam baham pasir sewaktu PRU-14 lalu bersama ramai rakan koliasi dan parti komponen? Sudah lupa sejarah 2018? Kalau setara itu pun kalah, mana mahunya idea solo? Solo bermaksud sendirian menghadapi PRU nanti hanyalah satu khayalan, angan-angan, impian kosong.

Ku Li pada pertengahan September juga telah menyebut perkara sama, “BN tidak pernah bergerak secara solo kerana terdapat parti-parti lain menjadi komponen dalam gabungan berkenaan, ada pakatan dengan setiap komponen.

“Mereka membawa kekuatan masing-masing untuk membantu calon-calon yang menawar diri bertanding bagi pihak parti-parti yang berkenaan atas satu simbol, semuanya menggunakan simbol BN,” katanya.

Apa pun terima kasih Ku Li kerana konsisten menegur, menasihati dan menyarankan supaya pimpinan Umno dan penyokongnya agar waras dan rasional. Tempoh bertenang dan kembali berpijak di bumi yang nyata masih terbuka untuk kita semua. Utamakan kepentingan ummah, kuatkan perpaduan Melayu Islam. Itu sahaja kunci utama kestabilan negara ini.

Jangka hayat Umno bergantung kepada rakyat. Kalau rakyat masih menyokongnya ia akan terus tegak, kuat, dan berkuasa. Ini juga pesanan berguna Ku Li pada orang-orang Umno. Kutiplah pesanan itu sebaiknya rakan-rakanku orang Melayu.

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 30/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -