Israel lanjutkan tempoh tahanan Khalil Awawdeh

Khalil Awawdeh telah menamatkan mogok lapar ketika dalam penjara Israel pada Ogos lalu. (FOTO: Reuters)
- Advertisement -

Susunan ZULHAIDI MANSOR

- Advertisement -

BAITULMAQDIS: Mahkamah Israel telah melanjutkan tempoh penahanan  Khalil Awawdeh, yang menamatkan mogok lapar selama 172 hari pada Ogos lepas, beberapa hari sebelum warga Palestin itu dijangka dibebaskan.

Al Jazeera melaporkan Awawdeh, 40, sepatutnya dibebaskan pada 2 Oktober ini, tetapi mahkamah majistret Israel di Rishon LeZion, Tel Aviv, memutuskan pada Rabu (28 Sept) waktu tempatan bahawa dia akan ditahan sekurang-kurangnya sehingga Oktober, lapor Reuters memetik kenyataan daripada isteri Awawdeh, Dalal. 

Menurut kumpulan hak banduan dan keluarganya, pemenjaraan Awawdeh dilanjutkan atas dakwaan bahawa dia cuba membawa telefon bimbit yang dimilikinya di Hospital Assaf Harofeh bersamanya ke klinik penjara Ramla iaitu tempat dia dipindahkan.

“Kami tidak tahu apa yang akan berlaku dengan kes baharu ini, sama ada ia akan ditutup dengan jaminan, atau sama ada dia akan dibebaskan, atau dibicarakan untuk kes baharu ini.

“Kami berasa kecewa dan sakit. Ini bukan perkara baharu bagi kami bahawa mereka cuba merosakkan kegembiraan dan kejayaan Khalil, kerana dia merampas kebebasannya,” kata Dalal.

Bapa kepada empat anak itu ditangkap oleh tentera Israel dari rumahnya di kampung Ithna, selatan bandar Hebron di Tebing Barat yang diceroboh, pada Disember 2021.

Awawdeh diletakkan dalam ‘penahanan pentadbiran’ iaitu  dasar Israel yang membenarkan pemenjaraan selama-lamanya rakyat Palestin tanpa perbicaraan atau pertuduhan, berdasarkan ‘maklumat rahsia’ yang tidak boleh diakses oleh tahanan mahupun peguamnya.

Walaupun Israel telah mendakwa prosedur itu membenarkan pihak berkuasa menahan ‘suspek’ sambil terus mengumpul bukti, pengkritik dan kumpulan hak asasi telah berkata sistem itu disalahgunakan secara meluas dan menafikan proses sewajarnya hak ‘suspek’.

Sementara, Middle East Monitor melaporkan, Kementerian Tahanan  Palestin di Gaza berkata bahawa lanjutan penahanan Awawdeh adalah rampasan kuasa terhadap perjanjian yang dicapai pada pembebasannya berdasarkan dia menangguhkan mogok laparnya.

“Melalui cara ini, pihak berkuasa penceroboh Israel berundur daripada ikrar yang mereka buat bulan lalu untuk membebaskan Khalil pada 2 Oktober 2022.”

“Ini adalah perkembangan berbahaya yang bermakna penceroboh (Israel) tidak akan membebaskan Khalil pada tarikh yang dipersetujui melainkan keputusan mahkamah baharu dikeluarkan,” katanya sambil memberi amaran bahawa mahkamah berkemungkinan akan memperbaharui tempoh lanjutan penahanan Awawded. – HARAKAHDAILY 30/9/2022

- Advertisement -