DAP rasis, perosak keharmonian negara

Ir Ts Khairil Nizam Khirudin
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tuduhan Penasihat DAP, Lim Guan Eng kononnya PAS rasis dan Malaysia akan lenyap (ceased to exist) jika Perdana Menteri PAS berkuasa cukup membuktikan kedangkalan parti chauvinis itu.

Ketua Penerangan PAS, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, seluruh rakyat Malaysia mengetahui patung Buddha terpanjang di Asia masih wujud dan baik terpelihara di bawah kerajaan Kelantan yang diterajui PAS.

Malah katanya, sewaktu PAS menguasai Terengganu pada 1999, cukai gerbang Kampung Cina turut dihapuskan PAS, sekali gus mengukuhkan hubungan baik masyarakat Melayu dan Cina di Terengganu dan Kelantan.

“Sebaliknya, DAP jelas memiliki rekod buruk lagi hina dalam isu-isu membabitkan Islam dan masyarakat Melayu di Malaysia.

“Antaranya perlembagaan DAP sendiri jelas menyebut dalam Perkara 2 Matlamat-matlamat DAP adalah untuk ‘mengesahkan lagi dan memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja ‘sekular’ yang asal’ ,” kata Khairil Nizam dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, hal berkenaan sahaja sudah membuktikan dan membuka pekung dada DAP yang cukup anti kepada Islam dan Melayu.

Katanya lagi, DAP tidak pernah menyembunyikan permusuhan mereka terhadap cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (RUU 355) dengan pelbagai alasan.

Sedangkan katanya, RUU 355 hanya sekadar mahu meningkatkan kadar hukuman yang boleh dikenakan ke atas penganut Islam atas kesalahan syariah sahaja.

“Sejarah membuktikan ketika berkuasa melalui Rejim PH, DAP kuat menyokong supaya konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) diratifikasi, langkah yang jelas bakal mengganggu-gugat keharmonian antara masyarakat pelbagai kaum sejak merdeka hingga ke hari ini.

“Lim Kit Siang menuduh khutbah Jumaat disediakan JAKIM sebagai menyebarkan kebencian dan mencabar usaha ke arah keharmonian.

“Pengerusi Wanita DAP, Chong Eng pula mengkritik khutbah Jumaat berkait kewajipan wanita Muslim menutup aurat.

“Timbalan Setiausaha Agung DAP, Dr P Ramasamy pula pernah menggelar pendakwah Islam, Dr Zakir Naik sebagai ‘syaitan’,” katanya.

Selain itu katanya, DAP pernah mempersoalkan di Dewan Rakyat pada 27 September 2005 tentang keperluan melaungkan azan dan bacaan ayat al-Qur’an melalui pembesar suara.

Tindakan itu dikatakan DAP mengganggu penganut bukan Islam, terutama pada waktu Subuh. Antara yang disebut Guan Eng adalah, “bahkan juga 1,500 tahun yang lampau mana ada pembesar suara?”

“DAP juga pernah mengundang murka Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 2014 apabila enggan mengemukakan lebih daripada dua nama untuk calon Menteri Besar Selangor susulan Langkah Kajang. Ini tidak termasuk banyaknya lagi celupar pro-DAP terhadap institusi Istana.

“DAP sememangnya terkenal dengan rekod membentak dan ingkar kepada Raja-raja Melayu. Antaranya mengenai isu pelantikan Menteri Besar Perak apabila Lim Kit Siang yang menyeru agar Adun DAP memboikot upacara mengangkat sumpah kerana tidak setuju perkenan Almarhum Sultan Azlan Shah yang melantik Adun PAS sebagai Menteri Besar pada 2008,” katanya.

Tambahnya lagi, DAP juga memiliki rekod melampau dalam isu aurat, contohnya apabila Nga Kor Ming telah menyindir purdah yang dipakai oleh sebahagian wanita Islam.

Malah, Kor Ming katanya pernah menyifatkan seorang pemimpin Umno Pulau Pinang, Datuk Ahmad Darus sebagai ‘pemimpin Melayu otak cacat’ kerana mencadangkan pramugari MAS memakai pakaian yang menutup aurat.

“Dalam isu murtad, Ngeh Koo Ham DAP Perak telah mengeluarkan kenyataan sebanyak dua kali iaitu pada 7 Jun 2014, yang diikuti ucapan sama di Dewan Rakyat pada 11 Jun 2014, supaya umat Islam diberikan kebebasan untuk murtad keluar dari Islam.

“Ngeh melaungkan kononnya umat Islam mestilah menerima hakikat bahawa jika seseorang Islam atas kehendaknya sendiri mahu keluar dari Islam dia mestilah dibenarkan berbuat demikian,” katanya.

Sementara itu, kata Khairil Nizam, deklarasi Setapak DAP juga menyatakan ‘kesamarataan etnik harus menjadi prinsip paling penting, dan di atas prinsip inilah pengasingan rakyat ke dalam dua kelompok ‘Bumiputera’ dan ‘bukan Bumiputera’ ditentang’.

Bagaimanapun kata Khairil Nizam, contoh yang dikemukakan beliau hanya sebahagian daripada banyak lagi sikap rasis DAP.

Justeru, beliau mengajak rakyat Malaysia pelbagai kaum menolak DAP yang menurutnya sangat rasis dan sering memecahbelahkan Keluarga Malaysia.

Katanya, DAP perlu ditolak sepenuhnya dari bumi Malaysia dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang demi negara Malaysia yang aman, makmur, dan sejahtera. – HARAKAHDAILY 30/9/2022

- Advertisement -