Audit kewangan YADIM bersih sejak 2018

Tuan Kamarul (dua dari kanan) menerima sijil audit bersih penyata kewangan daripda Muhammad Firdaus (dua dari kiri) sambil disaksikan Idris (tengah) di Putrajaya pada 29 Sept 2022.
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) sekali lagi dianugerahkan sijil audit bersih kewangan berturut-turut sebanyak empat kali sejak 2018.

Penganugerahan itu diberikan oleh firma audit kewangan, Atarek Kamil Ibrahim & Co. dan diserahkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh.

Penyerahan sijil turut disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Menurut wakil firma, Tuan Muhammad Firdaus Tuan Omar, audit kewangan YADIM mendapati penyata-penyata audit kewangan kumpulan memberi gambaran saksama mengenai kedudukan kewangan kumpulan dan yayasan pada 31 Disember tahun lalu.

Penyata yang dimaksudkan Tuan Muhammad Firdaus adalah penyata kewangan kedudukan kumpulan, pendapatan komprehensif, perubahan dalam ekuiti, aliran tunai, serta nota penyata kewangan termasuk ringkasan dasar perakaunan.

Malah katanya, prestasi kewangan dan aliran tunai bagi tahun berakhir pada 31 Disember tahun lalu juga menurut piawaian Laporan Entiti Persendirian Malaysia (MPERS) dan keperluan Ordinan Pemegang Amanah (Perbadanan) 1952 di Malaysia.

Sementara itu, Idris menyatakan keprihatinannya mengenai audit kewangan, terutamanya melibatkan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama.

“Audit ini ada kaitan dengan muhasabah, ada sifat ihsan, amanah, jujur, ada integriti dalam gerak kerja kita melaksanakan tugas.

“Disebabkan adanya konsep ihsan, kita tidak melakukan perkara yang menyeleweng pada perkara yang diamanahkan kepada kita. 

“Saya cukup gembira kerana pengurusan YADIM bersifat profesional dalam perkara ini, tahniah atas penganugerahan sijil bersih ini,” katanya seperti dipetik dari portal berita YADIM. – HARAKAHDAILY 30/9/2022

- Advertisement -