21 maut Taufan Ian ‘serang’ Florida: Kini tuju Carolina, Georgia

Pemandangan menakutkan di kawasan persisiran pantai Florida di Fort Myers selepas dilanda ombak tinggi lautan angkara kemunculan Taufan Ian. (FOTO: wtsp.com)
- Advertisement -

Susunan YUSMAN AWANG

- Advertisement -

FORT MYERS: Sekurang-kurangnya 21 orang maut selepas Taufan Ian melanda Florida dengan begitu ganas sehingga Presiden  Amerika Syarikat, Joe Biden menyifatkan ia boleh menjadi bencana paling teruk pernah berlaku di negeri itu.

Bercakap selepas taklimat dengan pegawai Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan pagi Khamis, Biden berkata walaupun angka kematian masih tidak jelas, laporan awal mencadangkan kehilangan nyawa yang mungkin dalam jumlah ‘banyak’.

“Saya bercakap dengan pesuruhjaya negeri, dan mereka bimbang (dengan keadaan di Florida),” katanya.

Taufan Ian yang melanda pantai Florida menyebabkan ombak tinggi dan banjir besar melanda kawasan itu pada Khamis (29 Sept) 2022 waktu tempatan. (FOTO: ABC.net)

Tambah beliau, sehingga petang Khamis (29 Sept) waktu tempatan (Jumaat hari ini, waktu Malaysia), 12 orang telah disahkan maut dalam ribut itu, dengan tujuh daripadanya di Charlotte County – kawasan berhampiran pantai barat daya lokasi Taufan Ian melanda pada petang Rabu, lapor NBC News.

Bercakap di MSNBC, Pesuruhjaya Daerah, Charlotte Christopher Constance mengaitkan enam daripada kematian itu kepada pentadbir daerah, yang mana beliau kemudian mengesahkan kematian ketujuh.

Sementara pegawai penguatkuasa undang-undang tempatan berkata, dua orang maut di Sarasota County, dan seorang lagi lemas di Volusia County.

Taufan Ian yang telah mengganas di Florida kini menuju ke Carolina dan Georgia. (FOTO: FOX4)

“Dua orang maut di Pulau Sanibel, lokasi di mana ribut Kategori 4 memusnahkan tambak yang menghubungkannya dengan tanah besar Florida,” ujar pihak berkuasa tempatan pada Khamis, waktu tempatan.

Salah satu ribut paling kuat yang pernah melanda Amerika Syarikat, Ian menyebabkan kira-kira 2.3 juta penduduk terputus bekalan elektrik setakat petang Khamis, dengan beberapa buah hospital terputus bekalan air, dan beribu-ribu penduduk terperangkap di kediaman mereka.

Datuk Bandar Fort Myers, Kevin Anderson memberitahu ketika muncul dalam program Today yang bersiaran di saluran NBC berkata bahawa Ian adalah salah satu ribut paling ganas yang pernah disaksikannya dalam beberapa dekad ini.

Impak kerosakan harta benda penduduk di Florida selepas dilanda Taufan Ian. (FOTO: AP)

“Melihat air banjir dari kondo saya di tengah-tengah pusat bandar, dengan parasnya yang semakin naik dan membanjiri semua kedai di tingkat satu, ia sangat menyayat hati,” katanya.

Foto dan video di media sosial  menunjukkan adegan kemusnahan: Orlando ditenggelami air banjir, bot karam di Fort Myers, pokok-pokok patah seperti pencungkil gigi dipatahkan di Punta Gorda. 

Sebahagian daripada Tambak Sanibel telah musnah, menghalang kenderaan daripada menyeberangi jambatan.

Persisiran pantai Fort Myers di Florida, Amerika Syarikat dibanjiri air laut akibat tiupan Taufan Ian. (FOTO: wtsp.com)

Sehubungan itu, Biden berkata ribut itu akan disenaraikan sebagai ‘salah satu daripada lima taufan terburuk yang pernah melanda semenanjung Florida, dan beliau mengisytiharkan ia sebagai bencana besar, serta meluluskan dana  bantuan persekutuan untuk membantu usaha pemulihan di peringkattempatan dan negeri Florida.

Sementara Pusat Taufan Kebangsaan AS berkata, Ian yang telah diturunkan sebagai ribut tropika di Florida pada pagi Khamis itu menjadi semakin kuat dan menjelma sebagai taufan; dan kini menunju ke Carolina dan Georgia dengan ancaman banjir, gelombang ribut dan angin kencang yang mengancam keselamatan penduduk.

Penempatan penduduk di persisiran pantai Fort Myers yang dibanjiri limpahan air laut. (FOTO: Naples Police Department)

“Ian bergerak ke timur laut Amerika Syarikat pada kelajuan 16 kilometer per jam dengan angin berkekalan maksimum 136.8 kmj  dan tiupan lebih tinggi ketika ia menuju ke Carolina Selatan, lokasi di mana ia diramalkan melanda pada esok (Jumaat) waktu tempatan.

“Seluruh kawasan pantai di negeri itu berada di bawah amaran terhadap bahaya Taufan Ian,” ujar kenyataan Pusat Taufan Kebangsaan lewat malam hari ini (Khamis waktu tempatan). – HARAKAHDAILY 30/9/2022

- Advertisement -