TSG optimis kekal gelaran juara Asia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa

Foto daripada Facebook Terengganu Polygon Cycling Team.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pasukan basikal bertaraf benua, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) yakin mampu mempertahankan gelaran selaku juara Asia dalam ranking Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood berkata keyakinan tersebut disandarkan pada kedudukan TSG kini yang selesa di hadapan pencabar di tempat kedua, dengan perbezaan 500 mata.

“Kita masih ada empat siri perlumbaan iaitu kejohanan di Iran, Taiwan, Jepun dan Le Tour de Langkawi (LTdL) sebelum tamat musim ini pada Oktober. Melihat pada kedudukan sekarang, kita berada di landasan betul untuk menamatkan saingan di kedudukan nombor satu Asia.

- Advertisement -

“Baki empat perlumbaan itu sebagai latihan untuk kekalkan prestasi pelumba dan kutip lebih banyak mata untuk perbaiki kedudukan di ranking dunia,” katanya selepas majlis menandatangani kontrak penajaan antara TSG dengan Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) Sdn Bhd di sini, petang semalam.

Malah katanya pasukan yang berpangkalan di Kuala Terengganu itu juga optimis mampu menamatkan perlumbaan di tempat ketiga terbaik benua.

Dalam pada itu Ketua Pegawai Operasi TSG Nasiruddin Wan Idrus berkata pasukannya menyasarkan satu podium dan satu jersi untuk saingan LTdL pada 11 hingga 18 Okt depan.

Menurut Nasiruddin sasaran tersebut dibuat selepas mengambil kira kehadiran banyak pasukan besar bertaraf jelajah dunia dan benua dari seluruh dunia yang datang untuk bertanding di kejohanan bertaraf Pro Series.

“Untuk saingan LTdL yang amat mencabar kali ini kita akan turunkan empat pelumba import dan dua pelumba tempatan termasuk pelumba utama kita yang juga pakar pendakian iaitu Anatoli Budiak, Metkel Eyob, Jambaljam Sainbayar, Youcef Reguigui, Harrif Salleh dan Nur Amirul Fakhruddin Mazuki,” katanya.

Katanya semua pelumba terbabit akan menyertai perlumbaan di Iran dan Taiwan pada awal Oktober ini sebagai sesi pemanas badan sebelum aksi di LTdL.

Sementara itu, TSG menerima suntikan penajaan tunai RM2 juta daripada syarikat pelaburan induk strategik kerajaan negeri, Terengganu Inc Sdn. Bhd.

Che Ku Mohd Izmuddin berkata TSG berjaya mengumpul jumlah penajaan sebanyak RM11 juta dalam pelbagai bentuk termasuk tunai, barangan dan perkhidmatan untuk musim depan.

Katanya jumlah itu adalah yang tertinggi pernah diterima sepanjang penubuhan TSG pada 2011.

“Hasil gerak kerja berpasukan membolehkan kita mengumpul tajaan paling tinggi dalam sejarah penubuhan TSG, terima kasih kepada semua terlibat termasuk kerajaan negeri.

“Kita sasarkan dalam tempoh lima tahun lagi TSG akan miliki kompleks pentadbiran sendiri yang pastinya akan menaikkan imej dan prestij pasukan,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Terengganu Inc Burhanuddin Hilmi Mohamed berkata penajaan buat lima tahun berturut-turut tersebut membolehkan pasukan berbasikal profesional itu meneruskan momentum kecemerlangan dalam saingan musim 2023.

Menurutnya jumlah tajaan musim 2023 dinaikkan sebanyak RM500,000 berbanding 2022 selepas berpuas hati dengan prestasi cemerlang dan kejayaan TSG meraih gelaran juara Asia UCI tahun lepas. – BERNAMA

- Advertisement -