SPRM bongkar kartel monopoli projek di MBSA

GEORGE TOWN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membongkar satu kartel yang dipercayai memonopoli tender projek di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) susulan serbuan di pejabat pihak berkuasa tempatan (PBT) itu pada Ahad lepas.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata setakat ini sembilan individu termasuk beberapa kakitangan MBSA dan seorang pegawai kanannya ditahan bagi membantu siasatan.

“SPRM masih menjalankan siasatan dan kami percaya penahanan mereka ini berjaya membongkar sebuah kartel dengan tangkapan terbaharu melibatkan pegawai kanan MBSA.

Advertisement

“Satu daripada dapatan kita ialah pegawai kanan itu terima habuan benda berharga yang nilainya berpuluh ribu ringgit.  Kita sedang siasat bagaimana perbuatan rasuah itu berlaku dan bagaimana sebuah syarikat mengawal 30 syarikat lain untuk dapatkan projek di jabatan berkenaan di MBSA,” katanya kepada pemberita dalam program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Utara di sini hari ini.

Pada Ahad lepas, SPRM menahan tiga individu iaitu dua pegawai MBSA dan seorang kontraktor dipercayai berhubung projek kerajaan negeri.

Sementara itu, Azam berkata suruhanjaya itu menjangkakan dapat menyelesaikan siasatan berhubung kes tuntutan palsu dan penyelewengan dana Program Insentif Pengambilan Pekerja (Penjana Kerjaya) melibatkan nilai RM100 juta dalam tempoh sebulan lagi.

Katanya siasatan kes itu mengambil sedikit masa kerana melibatkan suspek yang ramai dan banyak pihak lain, namun setakat ini pihaknya telah membuka 62 kertas siasatan bersabit kes itu serta menahan 38 lelaki dan 13 wanita bagi membantu siasatan.

“Kes ini tiada kaitan dengan politik, ia seperti rompakan di siang hari apabila sekumpulan individu ini melihat ada peluang (untuk ambil keuntungan) daripada kemurahan hati kerajaan bagi membantu mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19,” katanya.

SPRM sebelum ini memaklumkan tentang operasi besar-besaran bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menyiasat isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana insentif Penjana Kerjaya di beberapa negeri seluruh negara.

Operasi itu susulan maklumat diperoleh menerusi pemantauan dan risikan oleh SPRM dengan kerjasama Perkeso yang mendapati ada majikan mengemukakan tuntutan palsu serta menyeleweng dana program tersebut.

Program Penjana Kerjaya merupakan antara inisiatif kerajaan bagi membantu majikan dan pekerja mendepani cabaran Covid-19 bermula awal 2020 yang dilaksanakan oleh Perkeso melalui pewujudan pekerjaan baharu, mengekalkan pekerjaan dan meningkatkan kemahiran pekerja. – BERNAMA