Sabah FC tidak mahu keciciran mata

Foto daripada Facebook Sabah Football Club.
- Advertisement -

KOTA KINABALU: Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee tidak mahu pasukannya terus keciciran mata bagi memastikan skuad Sang Badak terus kekal dalam kelompok terbaik Liga Super 2022 yang hanya berbaki beberapa perlawanan.

Sehubungan itu, beliau meminta agar semua pemain mempamerkan aksi terbaik dalam pertemuan menentang Terengganu F.C di Stadium Sultan Mizan Zianal Abidin, Gong Badak, Terengganu Sabtu ini.

- Advertisement -

“Saya berharap, apabila kita bermain dengan Terengganu FC pada Sabtu ini, kita berjaya mendapatkan keputusan yang positif kerana kita tidak boleh lagi keciciran mata untuk mengekalkan tempat kedua ataupun dalam kelompok yang terbaik.

“Meskipun tanpa kemenangan dalam tiga perlawanan lalu (kemenangan menentang Terengganu FC) sudah tentu akan memberi sedikit impak yang cukup berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kim Swee berkata beliau telah menganalisis dan berlatih seperti mana yang diinginkan sebelum bertemu Terengganu, dan tempoh rehat yang lama dapat memberi peluang untuk pasukannya memperbaiki segala kelemahan yang ada.

“Semua pemain kini berada dalam tahap terbaik untuk memberikan persembahan lebih sempurna seperti mana yang kita tunjukkan sebelum ini,” katanya.

Tiga perlawanan sebelum ini, Sabah hanya mencatat keputusan seri menentang Kedah (1-1); Kuala Lumpur (2-2) dan kalah kepada Selangor (2-3).

Sementara itu, Kim Swee berkata ketika ini hanya penyerang import Jose Embalo yang masih mengalami kecederaan.

“Kita mempunyai rata-rata pemain yang cukup cergas untuk menggantikan tempat beliau dan sesiapa yang diturunkan, saya harap dapat melaksanakan tugas dengan terbaik,” katanya.

Sabah FC pada ketika ini berada di kedudukan kedua dengan 36 mata di belakang Johor Darul Ta’zim FC yang unggul dengan 43 mata. – BERNAMA

- Advertisement -