RM5.6 bilion bagi bina kolam takungan dwi-fungsi, LRAL2F2

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Kerajaan memperuntukkan kira-kira RM5.6 bilion bagi pembinaan kolam takungan dwi-fungsi, iaitu untuk bekalan air mentah dan tebatan banjir Sungai Klang-Rasau dan Loji Rawatan Air Langat 2 Fasa 2 (LRAL2F2), yang akan meningkatkan rizab margin bekalan air Selangor melebihi 15 peratus.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata dua projek berkenaan, akan bermula Januari tahun depan serta dijangka siap dalam tempoh lima tahun, akan dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan Selangor.

Beliau berkata pembinaan kolam takungan dwi-fungsi bagi menyokong Skim Bekalan Air Rasau itu, akan dapat meningkatkan rizab margin bekalan air Selangor melebihi 15 peratus, serta membekalkan 1.4 juta liter air sehari untuk kegunaan 467,000 akaun pelanggan di Petaling dan Klang, Selangor.

- Advertisement -

“Kolam ini dijangka mampu membekalkan bekalan air yang mampu bertahan sekurang-kurangnya tiga bulan, sekiranya berlaku pencemaran di loji rawatan air,” katanya sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas pelaksanaan projek kolam takungan dwi-fungsi Sungai Klang-Rasau dan LRAL2F2 di sini hari ini.

Tuan Ibrahim berkata kolam itu juga akan berfungsi untuk tebatan banjir ketika musim tengkujuh.

“Kolam ini mampu mengekstrak sebanyak 26 juta meter padu air dari Sungai Klang ketika aliran puncak, yang membawa kesan penurunan dianggarkan sehingga 500 milimeter aras air di bahagian hilir sungai,” katanya.

Mengenai LRAL2F2, beliau berkata loji itu berupaya meningkatkan bekalan air di Lembah Klang dengan memanfaatkan projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor, dengan kapasiti 1.8 juta liter sehari.

Tuan Ibrahim dalam pada itu berkata kerajaan telah melaksanakan pelbagai projek bagi mengurangkan risiko banjir di Lembah Klang, termasuk menambah jumlah siren amaran banjir, stesen kamera web, pusat pemantauan aras air, pusat pemantauan hujan dan meningkatkan jangka hayat ban.

“Siren amaran banjir ditambah daripada tujuh kepada 33, stesen kamera web 34 kepada 53, pusat pemantauan aras air 13 kepada 41, pusat pemantauan hujan (30 kepada 53) serta jangka hayat ban ditingkatkan dari 100 tahun kepada 200 tahun,” katanya projek terbabit telah siap dengan melibatkan kos sebanyak RM66 juta. – BERNAMA

- Advertisement -