Pilihan raya atau pilihan rakyat?

Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan.
- Advertisement -

Oleh: NORHANA MAT ZIN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 (PRU15) yang dikatakan berkemungkinan akan berlangsung dalam masa terdekat telah menimbulkan polemik, sekali gus menimbulkan persoalan adakah pemimpin parti politik lebih mementingkan pilihan raya berbanding rakyat.

Ini membawa kepada apakah yang berada di benak pemikiran ahli politik tanah air – pilihan raya atau pilihan rakyat?

Sedangkan setiap pemimpin parti politik perlu mendahulukan kepentingan rakyat, bukannya kepentingan politik peribadi yang sempit.

Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata beliau menyokong penuh cadangan untuk tidak membubarkan parlimen, seterusnya tidak mengadakan PRU15 masa terdekat ini. 

“Ini kerana setiap hujung tahun, negeri-negeri di Pantai Timur dan negeri di Selatan bakal menerima taburan hujan yang banyak hingga menyebabkan banjir. 

“Jadi, adalah tidak sesuai untuk mengadakan pilihan raya ketika rakyat ditimpa musibah. Mungkin ada yang masih ingat dengan kejadian bah besar yang melanda pada tahun 2014 di Kuala Krai, Kelantan,” ujarnya. 

Mengulas lanjut, Shahir turut mempersoalkan bagaimana mahu diadakan pilihan raya yang kebiasaannya pusat pengundian juga dilakukan di sekolah? 

“Hal ini kerana, setiap kali berlaku musibah banjir, rakyat perlu dipindahkan ke kawasan selamat.

“Kebiasaannya, bangunan-bangunan sekolah yang akan dijadikan pusat penempatan bagi mangsa-mangsa banjir,” katanya.

Justeru, beliau turut berpandangan bahawa amat tidak masuk akal untuk mengundi di sekolah ketika rakyat yang menjadi mangsa banjir terpaksa meneruskan hidup di pusat penempatan banjir di bangunan sekolah yang sama.

Selain itu, beliau turut memberitahu bahawa tidak masuk akal juga bagi pemimpin politik kerana menggunakan tenaga kerja golongan guru untuk menjaga pusat membuang undi di sekolah daripada menumpukan tugasan hakiki guru-guru untuk mendidik anak bangsa. 

“Pemimpin parti politik juga harus memikirkan keadaan anak-anak muda yang mahu fokuskan kepada peperiksaan SPM demi masa depan mereka. 

“Oleh yang demikian, setiap pemimpin parti politik seharusnya mendahulukan kepentingan rakyat dan bukannya kepentingan politik peribadi yang sempit,” tegas beliau.

Menurut Shahir, menang atau kalah adalah adat bertanding, jadi kenapa perlu tergesa-gesa untuk diadakan pilihanraya sekarang?

“Sememangnya kita tahu pilihan raya adalah proses demokrasi, namun percaturan tarikh pilihanraya perlu mengambil kira keadaan rakyat dan anak muda. 

“Seandainya mereka yakin menang, pilihanraya boleh diadakan apabila habis penggal. Pada waktu itu, rakyat boleh memilih pemimpin pilihan mereka,” ujarnya.  – HARAKAHDAILY 29/09/2022

- Advertisement -