KPM teliti dakwaan culik di sekolah sebelum ambil tindakan

Foto daripada Facebook Dr Radzi Jidin.

TANJUNG MALIM: Sebarang dakwaan kononnya berlaku kes penculikan di beberapa negeri ketika ini, perlu disiasat dan diambil tindakan kes mengikut kes dan bukannya secara menyeluruh sehingga timbul pelbagai spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata pihaknya dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), akan meneliti secara mendalam berkaitan semua aspek daripada laporan kejadian penculikan itu, bagi memahami kejadian sebenar sebelum mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keselamatan di kawasan sekolah.

“Saya hendak meneliti kebenaran cerita sebenarnya, seperti yang dikatakan hendak menguji tindakan pihak polis dan sebagainya…sebab itu pelaporan ini kita tidak mahu dengan mudah terus melihat perkara itu pada luaran sahaja, tetapi apa yang sebenarnya berlaku.

Advertisement

“Apabila kita dapat maklumat daripada pihak polis, apa yang penting pihak polis boleh berikan maklumat untuk buat siasatan dan sebagainya, kita akan lihat konteks tertentu untuk kita mengambil tindakan yang sewajarnya dalam apa jua keadaan.

“Generasi anak kita yang ada pada hari ini, terdedah kepada pelbagai pendedahan maklumat dan sebagainya…apapun setiap maklumat itu kita kaji, kita tidak mahu ambil pada nilai luaran dan kita akan masukkan kesemuanya,” katanya pada sidang media program Eksplorasi Alam Lestari III di Pusat Perlindungan Hidupan Liar (PKHL) Sungkai di sini hari ini.

Beliau berkata KPM mempunyai maklumat yang terhad, kerana kes yang berlaku di luar sekolah termasuk semasa murid dalam perjalanan pulang ke rumah dan siasatan dijalankan oleh pihak polis yang menentukan asas sebenar atas setiap laporan daripada mangsa.

“Apabila berlaku sebarang laporan, polis yang akan menyiasat perkara ini dengan mendalam. Sebab itu kami tidak mahu buat spekulasi, kerana ia berada di bawah bidang kuasa polis dan pihak kami sentiasa memberi kerjasama.

“Saya rasa ibu bapa pun inginkan semua anak bercerita secara jujur dan benar, namun kita nak kena tahu apakah keadaan di belakang tersebut, itu kita nak kena tahu, umumnya mereka kanak-kanak ini jujur namun apa keadaan di sebalik hal tersebut, kita nak kena semak secara mendalam,” katanya.

Radzi berkata para murid sentiasa diberikan didikan dan diingatkan tentang keselamatan mereka semasa berada di sekolah dan di mana sahaja, supaya mempunyai kesedaran dan memahami risiko dihadapi kanak-kanak seterusnya tindakan yang perlu diambil.

“Sebab itu kalau kita lihat ada sekolah yang keluarkan notifikasi untuk mengingatkan, tetapi pada masa yang sama kalau keluar macam itu (isu culik) seolah-olah keadaannya tidak begitu selamat, sebab itu kita minta dijelaskan dalam sesi persekolahan apakah keadaannya dan bagaimana pendekatan yang paling sesuai untuk anak-anak kita,” katanya.

Semalam, polis mengesahkan mesej yang tular mengenai kejadian penculikan kanak-kanak menerusi media sosial membabitkan beberapa daerah di negara ini antaranya Tangkak, Melaka Tengah, Kuantan dan Shah Alam adalah palsu.

Selain itu, dakwaan kononnya ada cubaan menculik seorang murid sekolah rendah di Taman Pinji Mewah, Ipoh seperti yang tular di media sosial baru-baru ini adalah tidak benar, tetapi hanya sebuah cerita yang direka-reka sahaja. – BERNAMA