Beri milik tanah: Kelantan model terbaik jaga rakyat

- Advertisement -

SIYASAH syar’iyyah atau politik Islam dalam mentakrif sebuah negara atau negeri itu apabila ia memiliki sekurang-kurangnya lima perkara iaitu tanah; rakyat; perlembagaan; pemimpin; dan kedaulatan.

Kelima-lima perkara ini mesti wujud dengan saling berhubung kait di mana kehebatan tamadunnya juga dapat dihitung nilai dari setiap lima perkara tersebut.

Kelantan adalah salah satu negeri dalam Persekutuan Malaysia yang berkeluasan sekitar 17,100 kilometer persegi dengan mempunyai 11 jajahan dan jumlah penduduk melebihi 2 juta orang.

Tetapi seperti ramai sedia maklum dan telah sering diperkatakan, bumi Serambi Makkah ini terpinggir atau dianaktirikan kerana perbezaan politik khususnya pada tahun 1990.

Tanah Serendah Sekebun Bunga ini bagaikan terpisah daripada 13 negeri lainnya dengan sering kali dilayan sebagai negeri dan rakyat ‘kelas kedua’ dalam kalangan warga Malaysia.

Bahkan, diburukkan dan dicemuh serta diabaikan negeri Cik Siti Wan Kembang ini supaya dilihat jauh ketinggalan dalam banyak aspek hingga ramai yang ‘merasa asing’ dengan Kelantan.

Tetapi sedarkah rakyat negara ini, hakikat sebenarnya ramai mereka itu yang ‘asing’ di kependudukan mereka sendiri apabila sekadar menumpang berteduh di tanah didiami.

Masih ramai rakyat negara ini yang tidak menduduki atau memiliki tanah sendiri atau membina kediaman di tanah sendiri, jauh sekali untuk mewarisi kepada keturunan, sebaliknya menyewa.

Suatu masa, apabila tanah itu dibeli pemaju atau mahu dibangunkan oleh pihak berkuasa, mereka tiada pegangan apa-apa, lalu diminta keluar atau terusir hilang tempat perteduhan.

Jika berkemampuan kewangan, dapatlah berpindah mencari kediaman lain untuk disewa berteduh, jika tidak maka sudah tentu akan bergelandangan dan merempat mencari simpati.

Malah, tidak kurang individu atau kelompok yang telah memugar tanah diusahakan bagi tujuan kehidupan seperti pertanian dan penternakan, sampai suatu masa ‘si tuan tanah’ mahukan, mereka juga terkontang-kanting.

Lebih buruk, adalah tanah-tanah rancangan khas yang diizinkan dibuka pihak pemerintah kepada para peserta berminat, namun setelah bergenerasi keturunan mereka di situ, pemilikan tanah dan kediaman masih juga tetap tergantung tidak pasti.

Maka perlu menjadi muhasabah besar buat mereka sedemikian dan juga para pemimpin khususnya politikus yang menerajui jawatan kerajaan memerintah.

Apakah sebenar-benarnya erti kuasa yang ada di tangan, jika realiti sebenar adalah kabur? Kabur kerana rakyat tidak ‘menjejak’ di bumi tanahnya dan pemimpin pula tidak ‘memiliki rakyat’ dalam erti kata sebenar.

Keadaan sedemikian, jika adapun perlembagaan atau undang tubuh di negeri masing-masing, tetapi kedaulatannya mudah sahaja digoyah atau diporak-perandakan.

Ini berbeza dengan Kelantan, sejak 32 tahun ditadbir oleh PAS, rakyat sentiasa menjadi keutamaan iaitulah pada kehidupan atau kependudukan mereka di bumi negeri ini.

Kerajaan Negeri Kelantan dari ditadbir Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dan kini Dato’ Ustaz Ahmad Yakob, telah meluluskan 105,050 hak milik tanah melibatkan keluasan 188,730.40 hektar di seluruh negeri ini.

Inilah bukti rakyat Kelantan benar-benar wujud sebagai warga negeri atau Kelatenese dan memiliki hak kependudukan yang diakui dan sah menurut undang-undang tubuh negeri ini.

Adapun anak Kelantan yang bersemangat berhijrah merantau mencari rezeki di negeri atau negara lain, diketahui kebanyakan mereka juga berkemampuan memiliki tanah atau berkediaman di situ.

Namun, seperti kebanyakan yang lain, mereka juga selalunya berhasrat pulang ke tanah di Pantai Timur ini setelah menamatkan kerjaya suatu masa kelak atau setidak-tidaknya sentiasa rindu terhadap bumi ulamak ini.

Pemilikan hak milik tanah ini juga sesuatu perkara amat besar berlaku di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu dan Kedah yang kini ditadbir oleh PAS.

Difahamkan, ramai kependudukan rakyat di kedua-dua negeri itu juga telah diluluskan setelah ada hingga berpuluh tahun dinafikan geran pemilikan atau kependudukan.

Besarnya erti pengiktirafan ini kerana ia terkait dengan hakikat ‘kerakyatan’ dan juga erti kepada kewujudan sebuah negara atau negeri itu di mana ternyata PAS merealisasikannya.

Ambillah iktibar di Palestin, Arakan Myanmar dan lain-lain tanah di bumi ini yang memiliki kejadian seumpama dan tentunya kepada pemimpin pemegang kuasa politik pemerintahan kerajaan, maka jaminlah rakyat untuk memilikinya, serta periksalah sama ada anda benar-benar memiliki rakyat atau sebaliknya.

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 29/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -