Terengganu kuat kuasa khidmat malim gunung bermula 2023

Foto daripada Facebook YB Ustaz Ariffin Deraman.

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu akan menguatkuasakan perkhidmatan Malim Gunung Perhutanan (MGP) di beberapa lokasi utama dalam kawasan hutan simpan kekal yang menjadi tumpuan pendaki di negeri ini bermula 1 Jan tahun depan.

Lokasi itu termasuk Gunung Sarut di Setiu; Gunung Tebu dan Gunung Bukit Tangga di Besut; Gunung Chemerong, Berembun dan Langsir serta Bukit Bauk di Dungun.

Pengerusi Jawatankusa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri Ariffin Deraman berkata penguatkuasaan itu selaras dengan arahan Jabatan Perhutanan yang mewajibkan penggunaan khidmat MGP tahun depan atas faktor keselamatan.

Advertisement

Beliau berkata terdapat 120 MGP di seluruh negeri ini dan jumlah itu dilihat mencukupi untuk memenuhi keperluan di lokasi berkenaan.

“Kami ada 120 MGP yang berdaftar seluruh negeri, mereka ini telah dilatih dengan ilmu, kepakaran dan arif dengan kawasan masing-masing.

“Kami amat menyokong penguatkuasaan penggunaan MGP yang dilihat bukan sahaja baik untuk soal keselamatan, tetapi turut mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat,” katanya selepas majlis penyampaian penajaan program Mount Tebu Climbathon Challenge (MTCC) di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ariffin berkata kerajaan negeri juga menjalin kerjasama rapat dengan penggiat sukan dan rekreasi di seluruh negeri bagi merancakkan lagi sektor pelancongan berasaskan sukan.

Menurutnya, penganjuran program seperti MTCC adalah antara inisiatif yang dilaksanakan bagi menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

“Kami ada banyak lagi gunung yang cantik dan berpotensi untuk menjadi tarikan pengunjung terutama peminat sukan pendakian.

“Amat rugi jika kita terus mensia-siakan alam semula jadi kurniaan Tuhan ini kerana ia sebenarnya boleh dimanipulasi dengan baik untuk menjana pendapatan negeri,” katanya. – BERNAMA