Tentera AS akui bunuh 22 orang awam di Afghanistan, Syria

Orang ramai berdiri di samping mayat orang awam semasa protes di bandar Ghazni, barat Kabul, Afghanistan pada 29 September 2019. Serangan udara oleh tentera Amerika Syarikat di timur Afghanistan itu telah mengorbankan sekurang-kurangnya lima orang awam. (FOTO: AP/Rahmatullah Nikzad)

Susunan YUSMAN AWANG

Advertisement

WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat mengakui telah membunuh seramai 22 orang awam di Afghanistan dan Syria dalam operasi ketenteraannya sepanjang tahun lepas.

Menurut Pentagon, secara keseluruhan pada tahun 2021, tentera AS telah membunuh 12 orang awam, dan lima yang lain cedera di Afghanistan, lapor AFP.

“Jabatan Pertahanan AS mendapat laporan bahawa 12 orang awam terbunuh dan kira-kira lima orang awam cedera ketika operasi ketenteraan AS,” ujar kenyataan dalam laporan yang dikeluarkan pada Selasa (27 Sept) waktu tempatan, yang mana ia perlu dilaporkan kepada kongres pada setiap tahun sejak 2018.

Terdahulu, pada tahun lepas Pentagon mengeluarkan kenyataan media mengakui bertanggungjawab atas kematian 10 ahli keluarga yang sama, termasuk tujuh anak keluarga berkenaan, semasa pengunduran AS dalam keadaan  huru-hara dari Afghanistan pada akhir Ogos 2021.

Dokumen awam menyatakan bahawa seorang orang awam terbunuh dalam serangan AS pada 8 Januari tahun ini di Herat, dan seorang lagi pada 11 Ogos di Kandahar, sementara dua orang awam turut cedera pada 18 Januari di Kandahar.

Menurut pangkalan data Marc W. Herold, Dossier on Civil Victims of United States’ Victims of Aerial Bombing, antara 3,100 dan 3,600 orang awam di Agfhanistan terbunuh serta-merta dalam pengeboman Operasi Enduring Freedom AS dan serangan Pasukan Khas AS antara 7 Oktober 2001, dan 3 Jun 2003.

Selain itu, tentera AS mengaku telah mencederakan tiga orang awam pada 1 Januari lalu dalam serangan di Qunyo Barrow, Somalia.

Pentagon juga menilai semula jumlahnya dari tahun 2018 hingga 2020, mengakui bahawa 10 lagi mati dan 18 cedera, semuanya di Syria adalah disebabkan operasi ketenteraan AS.

Badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerap menerbitkan penilaian yang lebih tinggi tentang kematian dan kecederaan akibat serangan tentera AS di zon konflik.

Organisasi Airwars, yang menyenaraikan mangsa awam serangan udara di seluruh dunia, menganggarkan dalam laporan tahunannya yang diterbitkan pada Mei tahun ini bahawa antara 15 hingga 27 orang awam telah terbunuh dalam operasi ketenteraan AS di Syria.

Pada Januari 2022, Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin menggesa pihak tentera berusaha untuk mengelakkan serangan udara agar tidak membabitkan orang awam, selepas beberapa kesilapan yang telah mencemarkan reputasi tentera negara itu.

“Melindungi orang awam adalah keperluan strategik dan moral,” kata Austin dalam memo kepada rantaian perintah ketenteraan. – HARAKAHDAILY 28/9/2022