Tanggungjawab sebagai Ahli Majlis Perbandaran

SAYA punya sedikit pengalaman sebagai Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), dulu. Saya berkhidmat sebagai Ahli Majlis (AM) dalam penggal 2008-2013.

Zaman itu, khidmat sebagai AM adalah lebih kurang sama dengan khidmat seorang YB. Cuma peringkatnya adalah kecil, iaitu dalam kawasan lokaliti yang kecil berbanding seorang YB.

AM ada peruntukan RM15,000 setahun, dalam bentuk geran. Bukan dalam bentuk cash. Peraturan penggunaannya dikawal oleh peraturan kewangan kerajaan. 

Geran tersebut hanya digunakan sesuai dengan keputusan Mesyuarat Penuh Majlis Perbandaran seperti pengurusan pejabat dan inisiatif pembangunan kecil sahaja. 

AM zaman kami ditegah setegah-tegahnya mengambil dan menerima projek yang ada di Majlis Perbandaran, seperti kontrak angkut sampah, kontrak cuci longkang tebas rumput dan lain-lain lagi.

Sebagai AM, antara perkara yang saya pernah bawa untuk keperluan orang awam ialah mengenai sama ada orang awam boleh saman Majlis Perbandaran jika berlaku kemalangan yang disebabkan oleh jalan raya rosak. Jawapan daripada pihak pegawai berkaitan ialah ‘ya’.

Hasil jawapan itu kami para AM bertungkus lumus menjalankan aktiviti turun padang demi turun padang untuk bersama-sama penduduk di semua lokaliti, melihat dan meneliti keadaan jalan raya setempat. 

Seterusnya memanjangkan laporan kerosakan kepada jabatan berkaitan untuk tindakan baik pulih. Semua itu dibuat demi memastikan keselesaan awam dari sudut penggunaan jalanraya adalah bagus dan selamat.

Dan Majlis Perbandaran tidak kena saman. Alhamdulillah, sekalipun tidak sempurna, keadaan jalan raya dapat dinaik taraf di kebanyakan tempat, dan masyarakat awam dapat menikmati keselesaan berterusan.

USTAZ MOHD SHAFIE NGAH
Yang Dipertua PAS
Kawasan Bangi – HARAKAHDAILY28/9/2022

Advertisement