PRU15: Persatuan Pondok gesa Melayu Islam bersatu

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

BACHOK:
Ijtimak Pondok Se-Malaysia akan diadakan Sabtu ini bagi menyatakan kesatuan Melayu dan Islam perlu dipertahan tanpa mengira parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Penaung Persatuan Pondok Se-Malaysia, Syeikh Wazir Che Awang berkata, lebih 15,000 guru dan pelajar pondok seluruh negara akan berkampung di Pusat Pengajian Pondok Yayasan Islam Kelantan (YIK) Kandis.

Katanya zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH) tidak wajar dibiar berulang kembali kerana banyak agenda serta kepentingan Melayu dan Islam banyak tergugat selama 22 bulan pemerintahannya.

Advertisement

“Jadi bagi tujuan itu kita hendak satukan semua pondok dan sampaikan perkara berkaitan pemerintahan negara yang ada sekarang dan kita tiada masalah dengan orang bukan Islam.

“Kita hendak satukan pondok supaya menyokong hasrat Melayu Islam bersatu di bawah Islam tanpa mengira parti politik untuk kita pertahankan elemen seperti terkandung dalam Rukun Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sambutan Hari Alam Hijau Sejahtera bagi peringkat Bachok di Pusat Pengajian Pondok Yayasan Islam Kelantan di Kandis di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan perasmiannya oleh Exco Kerajaan Negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail. Gotong royong itu sebagai persiapan awal mengadakan Ijtimak Pondok Se-Malaysia 1 Oktober ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz; Adun Pantai Irama, Mohd Huzaimy Che Husin dan Pendaftar Pondok Kandis Zamri Zahari.

Wazir berkata, majlis tahunan itu akan bermula dengan perarakan Maulid Perdana sejauh lapan kilometer dari Masjid Mukim Melawi ke Masjid al Quddus di Pusat Pengajian Pondok YIK Kandis.

Ia akan disertai kumpulan berkuda, motor berkuasa tinggi, basikal tua, persatuan pemilik Vellfire dan lori, trailer yang dihias menarik. Selain itu diadakan cabutan bertuah, hadiah seekor lembu, kambing biri, motosikal dan 30 kawah gulai. – HARAKAHDAILY 28/9/2022