Projek perumahan ancam keselamatan penduduk

Oleh WAN MUHAMAD IRFAN WAN JOHARI

TASEK GELUGOR:
Penduduk beberapa kampung di sini melahirkan rasa bimbang soal keselamatan apabila projek perumahan yang dibina bakal menyebabkan banjir kilat yang besar.

Yang Dipertua PAS Kawasan Tasek Gelugor, Sobri Salleh berkata, beliau telah menerima aduan kebimbangan penduduk setempat.

Menurutnya, ia sudah menjadi realiti apabila banjir di Kampung Pokok Machang, Permatang Indah dan Lubok Meriam di sini sering berlaku apabila hujan lebat.

Advertisement

Menurutnya, penduduk tidak menghalang pembangunan tetapi setiap projek yang bakal dibangunkan mestilah mengambil kira kesan jangka panjang kepada penduduk sekitar.

“Kita bimbang tambunan tanah bagi projek itu akan menyebabkan aliran air banjir akan tertumpu ke kawasan penduduk yang lebih rendah, ini akan menjadi keadaan yang buruk kepada kampung berdekatan,” ujarnya yang meninjau kawasan berkenaan, baru-baru ini. (Foto atas)

Sehubungan itu, beliau berharap agar kajian yang mendalam mesti dibuat oleh agensi berkenaan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran, Majlis Bandaraya Seberang Perai serta Jabatan Pertanian.

Tambahnya, ia penting bagi memastikan kawasan sekitar projek perumahan dibina perparitan yang lebih besar supaya dapat menampung limpahan air.

“Ini perlu bagi mengelak banjir kilat yang akan menjejaskan kehidupan penduduk, petani dan pesawah sekitar Pokok Machang, Permatang Indah, Lubok Meriam, Pokok Sena dan Lahar Yooi,” kata beliau.

Sobri berkata, antara yang turut membantah ialah penceramah terkenal dan Pengasas Pusat Kecemerlangan As-Syafie (PAKSY), Ustaz Abdullah Khairi.

Menurutnya, Abdullah dan penduduk juga bimbang keselamatan pelajar apabila banjir berlaku yang telah menyatakan bantahan kepada pihak pemaju dan pihak berkuasa tempatan.

Menurutnya lagi, mereka juga merasa bimbang tahap keprihatinan pihak pemaju mengenai keselamatan dan keselesaan penduduk terhadap lori-lori membawa tanah yang menggunakan jalan masuk dan keluar ke tapak projek tersebut.

“Ia perlu dipantau agar tidak berlaku kerosakan yang boleh mendatangkan bahaya kepada nyawa pengguna jalan raya di situ,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 28/9/2022