MAIK laksana penggredan masjid di seluruh Kelantan

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) akan melaksanakan penggredan masjid di seluruh Kelantan bermula tahun hadapan.

Yang Dipertua (YDP) MAIK yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, inisiatif itu akan memberikan standard dan piawaian yang tinggi kepada masjid bagi memastikan ia berfungsi dan berperanan lebih progresif serta efektif.

Advertisement

Katanya ia secara langsung akan membantu usaha MAIK dalam usaha meningkatkan imej masjid dalam aspek keceriaan dan kebersihan fizikal bangunan masjid.

“Program penarafan tersebut akan dinilai mengikut kriteria yang ditetapkan melibatkan pelbagai aspek seperti pengurusan kewangan, kebersihan serta beberapa aspek lain.

“Pihak pengurusan MAIK juga dalam usaha untuk memastikan kecekapan pegawai masjid menguruskan urusan harian masjid selain program pengimarahan.

“Justeru pengurusan masjid yang berkesan akan memberi impak langsung kepada imej dan peranan MAIK,” katanya pada sidang media selepas majlis penutupan Kursus Pengurusan Kewangan dan Integriti Masjid Negeri, Bandar dan Jajahan Kelantan dan Penyerahan Zakat Bank Rakyat, di sini hari ini.

Kursus pengurusan kewangan dan integriti masjid itu merupakan program kerjasama startegik bersama Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM) cawangan Kelantan bermula sejak 2018.

Matlamat utama kursus terbabit untuk memberikan pendedahan kepada pengurusan masjid berkaitan kewangan terutamanya prinsip perakaunan yang betul bagi memenuhi keperluan perundangan semasa.

Dalam majlis yang sama, MAIK turut menerima bayaran zakat tahunan yang disumbang Bank Rakyat sebanyak RM600,312. – HARAKAHDAILY 28/9/2022