Lima remaja ditahan bantu siasatan kes pecah sekolah

JOHOR BAHRU: Lima remaja lelaki ditahan selepas dipercayai terlibat dalam beberapa kejadian pecah sekolah di sekitar Iskandar Puteri pada 19 dan 26 Sept lepas.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Rahmat Ariffin berkata kesemuanya yang berusia antara 15 hingga 17 tahun dan tidak bersekolah, ditahan di Gelang Patah, Iskandar Puteri, semalam.

Advertisement

“Antara sekolah yang terlibat dalam kejadian itu adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Nusa Perintis 1 dan SK Taman Nusantara.

“Modus operandi mereka adalah mengumpil pintu dan memotong kunci jeriji dan seterusnya menyelongkar ruangan pejabat dan bilik guru,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh mendapati kelima-lima remaja berkenaan melakukan perbuatan pecah sekolah tersebut.

Antara kerugian termasuk kehilangan tablet Huawei 10 inci dan wang tabung sekolah lebih kurang RM2,000.

Menurut Rahmat, kesemua remaja itu direman tujuh hari bermula semalam untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – BERNAMA