Kelantan hargai ATM harungi wabak Covid-19, operasi banjir

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN | Foto UKMB

KOTA BHARU:
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merupakan benteng mempertahankan kedaulatan negara bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran rakyat Malaysia terus terpelihara.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri menghargai peranan ATM termasuk ketika mengharungi cabaran penularan wabak Covid-19, operasi banjir dan program bersama rakyat.

- Advertisement -

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dapat bersama-sama warga 8 Briged, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Desa Pahlawan,” katanya. ketika berucap pada majlis Penghargaan dan Ramah Mesra Bersama Menteri Besar dan Timbalan Menteri Pertahanan di Kem Desa Pahlawan, di sini hari ini.

Angkatan Tentera Malaysia merupakan benteng kedaulatan negara bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran rakyat Malaysia terus terpelihara.

Katanya, ATM dengan penuh komitmen berjaya memastikan keselamatan sempadan negara khususnya melibatkan negeri Kelantan menerusi pelaksanaan Ops Benteng.

Tambahnya lagi ATM turut memainkan peranan besar dalam misi banjir dengan kesiapsiagaan menerusi Ops Murni. Projek Jiwa Murni membawa kesan besar dalam mengeratkan hubungan ATM dan rakyat.

“Pada April 2021, program tersebut berjaya membina dan membaiki rumah penduduk miskin di Kelantan,” ujar beliau.

Sehubungan itu beliau mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia, Dato’ Sri Ikmal Hisyam Abdul Aziz dan Panglima 8 Briged, Briged Jeneral Abu Hassan Assha’ari Khamis @ Shaffiee menjayakan program tersebut. – HARAKAHDAILY 28/9/2022

- Advertisement -