Suasana harmoni ‘rahsia’ skuad Harimau Malaya

- Advertisement -

SEPANG: Pemain sayap negara Muhammad Safawi Rasid merasakan keharmonian dalam pasukan mendorong skuad Harimau Malaya meraih keputusan memuaskan berdepan dua pasukan di ranking lebih tinggi pada kejohanan Piala Raja Thailand di Chiang Mai baru-baru ini.

Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu secara peribadi berpandangan pemain yang dipanggil menyertai pasukan negara kali ini berjaya mewujudkan suasana harmoni sekali gus memberi impak kepada prestasi pasukan sewaktu menentang Thailand dan Tajikistan.

“Saya rasa panggilan kali ini lebih membentuk pasukan harmoni supaya suasana itu dibawa di padang. Saya nampak semua pemain ada hubungan baik dan sebab itu kita dapat keputusan baik,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), malam tadi.

- Advertisement -

Pada kejohanan Piala Raja Thailand, Ketua Jurulatih Kim Pan Gon mengekalkan 17 daripada 23 pemain yang telah membawa Malaysia layak ke Piala Asia 2023 dan menyenaraikan lapan pemain baharu termasuk tiga pemain muda berusia 21 tahun dari skuad Bawah 23 Tahun (B-23).

Pada kejohanan itu, Malaysia mara ke final dengan menewaskan pasukan tuan rumah 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas aksi 90 minit berakhir dengan keputusan 1-1 di Stadium 700th Anniversary of Chiang Mai Khamis lepas.

Pada aksi final berdepan Tajikistan Ahad lepas, skrip berbeza berlaku apabila Malaysia pula terpaksa akur tewas 0-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat tanpa jaringan sekali gus kempunan menamatkan kemarau 44 tahun menjadi juara.

Thailand dan Tajikistan masing-masing turun ke kejohanan itu sebagai pasukan di ranking ke-111 dan ke-109 dunia manakala Malaysia di kedudukan ke-148.

Justeru, secara keseluruhan Muhammad Safawi yang dilantik sebagai seorang daripada ketua pasukan, berpuas hati dengan dua keputusan seri dicatat skuad Harimau Malaya dalam aksi 90 minit kerana ia memberi penambahan mata dalam kedudukan ranking.

“Kalau cakap mengenai prestasi peribadi saya tidak puas hati sebab saya benci kepada kekalahan, itu menandakan saya kena perbaiki lagi,” kata pemain berusia 25 tahun itu.

Sementara itu, mengulas mengenai kecaman peminat ke atas rakan sepasukannya Mohamadou Sumareh susulan persembahan hambar, Muhammad Safawi berkata ia tidak sepatutnya berlaku kerana bola sepak adalah sukan berpasukan. – BERNAMA

- Advertisement -