PH adalah gabungan politik anti-Islam

HAKIKAT 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) telah membuktikan Malaysia akan lebih sejahtera tanpa PH. 

Rakyat dapat melihat dalam tempoh tersebut bagaimana PH sebenarnya adalah sebuah gabungan politik yang anti Islam, tidak berwibawa dan tidak berintegriti.

Pelbagai tindakan yang mencabar kedaulatan Islam dilakukan oleh Kerajaan PH ketika itu yang didominasi oleh DAP seperti usaha ratifikasi ICERD dan perjanjian Statut ROM. 

Di Teluk Intan, rakyat tidak lupa kepada siri-siri penghinaan oleh Ahli Parlimen, Ngar Kor Ming terhadap Islam seperti penghinaan amalan memberi duit raya ketika sambutan Aidilfitri dan sindiran kepada pemakaian purdah oleh orang Islam.

Pemimpin DAP juga terpalit dengan tindakan biadab lain seperti melabelkan Dr Zakir Naik, pendakwah Islam sebagai ‘setan’, menghina hukum hudud, mempersoalkan kewujudan JAKIM dan pelbagai kenyataan yang menghina institusi raja-raja di Malaysia. 

Lebih biadab pemimpin DAP Perak, Ngeh Koo Ham juga pernah menyatakan pendirian agar orang Islam di Malaysia dibenarkan untuk murtad atau bertukar agama.

Dalam konteks integriti dan wibawa memimpin, pemimpin PH hanya memerlukan masa singkat 22 bulan untuk terpalit dengan pelbagai kes rasuah serta salah guna kuasa. 

Kebebasan sistem kehakiman juga diganggu-gugat oleh pemimpin PH apabila banyak kes-kes melibatkan pemimpin PH digugurkan di mahkamah walhal jalan sepatutnya diambil adalah membersihkan diri dari tuduhan melalui mahkamah. 

Paling besar skandal yang melibatkan Lim Guan Eng dalam projek Terowong Dasar Laut.

Di era 22 bulan PH juga, pengiktirafan mula diberikan secara tidak langsung kepada golongan LGBT dan Komunis di Malaysia. 

Ia merupakan tindakan yang merungkai nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat Malaysia selain penghinaan langsung kepada para pejuang kemerdekaan yang bertungkus lumus membebaskan negara daripada penjajah termasuklah daripada Komunis.

Semua itu berlaku dalam tempoh singkat 22 bulan. 

Bayangkan kerosakan besar yang akan berlaku sekiranya diberi masa 5 tahun kepada PH memerintah.

Justeru, PAS Kawasan Teluk Intan menyeru rakyat Malaysia pelbagai kaum untuk sama-sama menolak PH demi membina sebuah negara Malaysia yang sejahtera.

HAJI AZHAR RAFIEI
Yang Dipertua
PAS Kawasan Teluk Intan – HARAKAHDAILY 27/9/2022

Advertisement