Penduduk di pulau juga adalah Keluarga Malaysia

- Advertisement -

Oleh FAIZAH ARBAIN

SANDAKAN:
Penduduk yang tinggal di kawasan pulau di Sabah perlu menunjukkan perasaan cinta terhadap tanah air mereka sendiri walaupun terasing dari daratan.

Ketua Muslimat PAS negeri, Norsah Bongsu berkata, mereka juga sebahagian daripada Keluarga Malaysia yang layak mendapat layanan dan kemajuan seperti rakyat yang lain.

- Advertisement -

Katanya, anak-anak penduduk yang tinggal di pulau perlu meneruskan pendidikan sehingga ke peringkat lebih tinggi.

“Ini penting supaya anak-anak mempunyai ilmu pengetahuan yang boleh membangunkan penempatan mereka ke arah lebih baik pada masa akan datang,” katanya pada program Sambutan Hari Malaysia di Pulau Shanghai, kelmarin.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Sahar Abdul Majid turut hadir pada program anjuran PAS Kawasan Batu Sapi dengan kerjasama PAS Cawangan Pulau Shanghai itu.

Pada program terbabit pelbagai acara diadakan termasuk lumba perahu dan acara sukaneka bersama penduduk tempatan.

Selain itu turut dibuka kaunter kesihatan dikendalikan doktor daripada Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Sabah (PAPISMA) yang melakukan pemeriksaan kesihatan percuma.

Kaunter keahlian PAS turut dibuka sempena kempen PAS Pilihanku.

Norsah juga berkata, PAS Sabah berusaha mendekati dan mengenali penduduk yang tinggal di kawasan pulau bagi merapatkan hubungan dengan mereka. – HARAKAHDAILY 27/9/2022

- Advertisement -