Konvoi bermotosikal bukan riadah kosong

- Advertisement -

Oleh NAZRI ABD HAMID

NIBONG TEBAL:
Konvoi bermotosikal bukanlah riadah kosong, kata Penasihat Jabatan Kesenian Kebudayaan dan Sukan (DACS) Nibong Tebal, Nor Zamri Latiff.

Menurutnya, konvoi itu bertujuan untuk membenihkan penyatuan, kebersamaan dan dapat berkenalan sesama pemuda Islam yang menyertainya.

- Advertisement -

“Dalam mencari kesamaan dan muafakat membentuk ukhuwah, kita harus mengenepikan segala perbezaan, perselisihan dan mencari titik persamaan dan kesatuan tanpa menjadikan idiologi politik menghalang untuk tujuan tersebut,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian pada Pelancaran Kelab Belia Proaktif Nibong Tebal, kelmarin.

Program itu anjuran bersama DACS Pemuda PAS, Masjid Baru Sungai Bakap dan Pusat Khidmat Parlimen Nibong Tebal.

Nor Zamri berkata, konvoi tersebut disertai 110 orang dari kalangan pemuda dan pemudi sekitar Nibong Tebal yang bermula dan berakhir di Masjid Baru Sungai Bakap.

“Program seperti itu sewajarnya diteruskan dan dijadikan program tahunan Kelab Belia Proaktif,” ujarnya lagi.

Tambahnya, program Konvoi Anak Muda Malaysia Sejahtera itu turut mendapat perhatian pegawai Belia dan Sukan Daerah Seberang Perai Selatan, Abdul Hamid Mohd Yassin dan sokongan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada pelbagai pihak yang menganjur dan menjayakan program itu.

Dalam konvoi itu juga diselitkan slot menimba ilmu dengan taujihat dan tazkirah yang disampaikan oleh Imam Masjid Abu Ubaidah Ibni Al-Jarrah, Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat, Ustaz Mohd Anur Hussin. – HARAKAHDAILY 27/9/2022

- Advertisement -