Ijtimak Tarbawi semarak perjuangan Pemuda PAS

Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis, Asrul Aimran Abd Jalil
- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR: Ijtimak Tarbawi 8.0 (IT 8.0) di Kompleks Pendidikan Tahfiz An-Nur, Besut, Terengganu pada 1 Oktober ini, akan menjadi medan untuk Pemuda PAS membangkitkan semangat meneruskan perjuangan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis (DPPNPs), Asrul Aimran Abd Jalil, berkata sebagai abnaul harakah (ahli gerakan) PAS, sewajarnya meletakkan tarbiyah sebagai elemen terpenting dalam kehidupan.

- Advertisement -

Katanya, penganjuran Praijtimak Tarbawi peringkat negeri juga adalah bagi menyatakan sokongan dengan mengutamakan agenda tarbiyah.

“Kita hadirkan pembentang hebat bagi menyuntik semangat pemuda kerana beliau begitu hampir dengan tajuk kita pada malam ini, iaitu Perjuangan dan Pengorbanan. Beliau salah seorang ahli keluarga yang terlibat dengan peristiwa Memali,” katanya di Praijtimak Tarbawi peringkat negeri di Kompleks PAS Perlis (KOMPAS), semalam.

Pembentang kertas kerja ialah Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penaga, Ustaz Yusni Mat Piah. Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis, Saad Seman dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis, Haziq Dun.

Asrul Aimran berkata, antara tujuan perhimpunan itu juga bagi menyatukan seluruh entiti yang berada di bawah PAS.

Katanya, semua peringkat parti seperti AJK di kawasan, muslimat serta cawangan perlu bersatu bagi menghadapi medan perjuangan yang lebih besar akan datang, iaitu PRU15.

“Kami juga menyatakan kesediaan DPPNPs menghantar rombongan peserta ke IT 8.0 nanti,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 27/9/22

- Advertisement -