PRU15: Warga PDRM bertugas perlu faham akta berkait p’raya

Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani

KUALA LUMPUR: Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang akan bertugas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang perlu mempersiapkan diri dengan pengetahuan menyeluruh mengenai bidang kuasa masing-masing bagi mengelak implikasi yang boleh mencabar kredibiliti pasukan dan kewibawaan kerajaan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata sehubungan itu, semua pegawai pemerintah dan petugas perlu cakna dan memahami Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan akta-akta lain yang berkaitan.

Advertisement

“Menghampiri PRU15 juga saya telah keluarkan arahan pada 14 September mengenai usaha pemantapan amalan kesantunan berbahasa dalam penyampaian perkhidmatan PDRM yang perlu diberi perhatian.

“Pegawai polis perlu bijak mengawal emosi dan tutur kata selain mengekalkan profesionalisme pada tahap tertinggi sepanjang bertugas terutamanya apabila berdepan situasi provokasi,” katanya sewaktu menyampaikan amanat dalam Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara bulan September di Bukit Aman, di sini hari ini.

Acryl Sani berkata polis juga perlu telus menangani isu berkait mana-mana parti politik agar PDRM terus dilihat sebagai sebuah institusi kepolisan yang profesional.

“Untuk makluman saya juga telah melantik Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Hazani Ghazali sebagai Pengarah Operasi Polis bagi PRU15 dan semoga semua elemen di bawah KDNKA selaku jabatan pengoperasian dengan aset dan keanggotaan terbesar dapat menjalankan tugas dengan baik,” katanya.

Beliau berharap PDRM akan menggunakan secara optimum jentera pasukan dengan perancangan strategik bagi memastikan situasi PRU15 nanti aman selain pada masa sama dapat menjalankan tugas hakiki iaitu mengekalkan keselamatan negara dengan baik.

Mengenai bencana alam seperti banjir, Acryl Sani berkata beliau telah mengarahkan semua ibu pejabat polis baik di peringkat kontinjen mahupun daerah untuk bersiap-sedia, meliputi anggota dan aset yang boleh digerakkan pada bila-bila masa yang diperlukan.

“PDRM perlu ambil iktibar banjir besar yang melanda negara Disember tahun lepas yang telah menguji kesiapsiagaan pasukan keselamatan dalam menghadapi krisis. Belajar dan tambah baik dari sudut mana yang perlu agar respons PDRM dalam berhadapan bencana pada masa hadapan lebih efektif dan dapat menghulurkan bantuan secepat mungkin,” katanya. – BERNAMA