PRU14 adalah kesilapan yang wajib tidak diulangi

PADANG RENGAS: Sejarah penindasan di Eropah Timur, Andalusia yang kini dikenali Sepanyol dan negeri Arakan oleh kaum Rohingya, serta Pattani, Narathiwat, Yala dan Songkla di selatan Thailand mesti menjadi iktibar.

Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria mengingatkan mengenai kesilapan umat di mana semua tempat tersebut yang pernah menjadi pusat Islam pada suatu masa dahulu, tetapi kemudian dihancurkan.

“Disebabkan pemimpin-pemimpin dan orang Islam yang tidak melihat kepentingan dan memahami politik Islam, kita lihat umat dan agama Islam di sana ditindas.

“Kalau kita tidak ada kesedaran politik dan pemimpin politik masih lagi sibuk mencari kedudukan dan kemewahan tanpa melihat ancaman kepada agama, bangsa dan negara, tidak mustahil Malaysia akan menjadi seperti mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran Kempen PAS Pilihanku 4.0 peringkat negeri Perak yang disempurnakan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Dewan Millenium Lubuk Merbau, di sini kelmarin dahulu.

Tambah beliau lagi, Pakatan Harapan (PH) mempunyai 19 kerusi penuh milik DAP dan hanya memerlukan 11 kerusi Melayu untuk membentuk kembali pemerintahan kerajaan mentadbir negeri Perak.

Oleh kerana itu tegasnya, tidak ada pilihan lain selain daripada gagasan yang diseru oleh Presiden PAS dan dibawa ke arah perpaduan ummah Melayu-Islam yang mesti bersatu bagi menafikan hasrat DAP.

“Tidak kira mana-mana parti dengan gagasan menyatukan parti-parti besar Melayu dan mengajak parti-parti bukan-Melayu yang tidak ekstrem untuk kita bersatu mempertahankan keadaan negeri kita.

“Jangan kita ulang kesilapan ini kerana jika diulang akan menatijahkan kesan yang buruk kepada agama, bangsa dan negara,” tegasnya lagi.

Menurutnya tidak ada parti lain yang boleh mempertahankan semua ini melainkan PAS sahaja yang perlu bangkit untuk itu, seterusnya bergandingan bersama parti-parti Melayu-Islam lainnya, serta NGO-NGI.

Beliau turut menyeru kepada semua ahli PAS untuk bekerja bersungguh-sungguh bagi menghadapi apa jua keadaan dalam pilihan raya nanti yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja.

“Kerana tidak ada pilihan lain untuk rakyat negeri Perak bagi memastikan dan mengekalkan pemerintahan negeri ni ditangan Melayu-Islam melainkan hanya Perikatan Nasional,” ujarnya.

Kehadiran yang mencecah ribuan ahli PAS itu turut dihadiri barisan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, PAS Negeri Perak dan Pengerusi Perikatan Nasional Padang Rengas, Kapten Azahari Hasan. – HARAKAHDAILY 26/9/2022

Advertisement