Pengiktirafan RCSEd: Penghargaan kepada KKM, negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyifatkan penganugerahan Royal College of Surgeons of Edinburgh (RCSEd) International Medal 2021 yang diterima baru-baru ini, amat bermakna dan satu penghargaan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan negara.

- Advertisement -

Beliau dalam catatan di Facebook hari ini, turut merafak sembah menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah atas limpah perkenan Seri Paduka berdua menzahirkan ucapan tahniah kepada beliau susulan penganugerahan itu.

“Sesungguhnya pengiktirafan daripada kolej pembedahan tertua dan terbesar di dunia ini adalah amat bermakna dan juga merupakan penghargaan kepada KKM dan negara. Syukur alhamdulillah,” katanya.

Dr Noor Hisham menerima anugerah itu daripada Presiden RCSEd Prof Michael Griffin pada majlis santapan malam bagi memuliakan keberangkatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir, felow terhormat RCSEd yang juga Canselor Diraja Universiti Kebangsaan Malaysia.

Turut berangkat pada majlis itu, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud. – BERNAMA

- Advertisement -