Pan Gon bangga walaupun Harimau Malaya tewas

Foto daripada Facebook Football Association of Malaysia.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tiada kekesalan, tetapi sebaliknya berbangga.

Biarpun gagal menamatkan penantian 44 tahun Malaysia untuk menjulang Piala Raja Thailand selepas tewas 0-3 dalam penentuan sepakan penalti kepada Tajikistan pada perlawanan akhir, ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Kim Pan Gon memuji anak buahnya kerana meletakkan semangat juang dan kekuatan mental yang tinggi sepanjang perlawanan malam tadi.

“Kami telah menjangkakan ia akan menjadi perlawanan yang sukar kerana Tajikistan, menduduki ranking ke-109 dunia adalah pasukan yang sangat fizikal dan kuat tetapi saya amat berbangga dengan sikap dan semangat pemain Harimau Malaya (di final).

“Tiada penyesalan, kerana kami telah melakukan yang terbaik dan akan menilai kem ini sebelum membuat persiapan menghadapi Piala AFF 2022 (yang akan diadakan 20 Dis 2022-16 Jan 2023),” katanya pada sidang media selepas perlawanan menerusi rakaman audio yang disediakan kepada media daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

- Advertisement -

Juara edisi ke-48 kejohanan itu terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedudukan terikat 0-0 dalam tempoh 90 minit permainan.

Pengendali dari Korea Selatan itu kecewa selepas hujan lebat turun pada separuh masa pertama menggoyahkan prestasi Harimau Malaysia pada perlawanan akhir kejohanan empat pasukan itu.

Pan Gon menegaskan bahawa beliau tidak mahu menamatkan perlawanan menerusi sepakan penalti dan percaya anak buahnya boleh bermain dengan lebih baik sekiranya tiada hujan malam tadi.

Dalam pada itu, jurulatih berusia 53 tahun itu berharap Malaysia yang kini menduduki ranking ke-148 dunia, bersedia untuk bersaing dengan pasukan yang berada di kedudukan 110 ke atas dalam tempoh dua tahun akan datang.

Sementara itu, beliau memuji peminat Malaysia yang hadir di venue berkenaan dan berterima kasih kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang membuat penyelarasan semula pada perlawanan liga tempatan dalam usaha memberi peluang kepada pemain melaporkan diri bagi tugasan skuad kebangsaan untuk kejohanan itu.

Skuad negara mara ke final selepas menang 5-3 ke atas Thailand, juga penentuan sepakan penalti, selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sepanjang 90 minit perlawanan, Khamis lepas.

Malaysia menjulang piala itu pada 1972 diikuti dengan gelaran hatrik pada 1976, 1977 dan 1978.

Terdahulu semalam, tuan rumah Thailand menamatkan saingan di tempat ketiga selepas menumpaskan Trinidad & Tobago, 2-1. – BERNAMA

- Advertisement -