NGO watak penting laksana kerja dakwah di Sabah

- Advertisement -

Oleh ANNA TAN

TAWAU:
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) merupakan watak penting dalam menjalankan kerja dakwah di Sabah.

Justeru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berharap agar semua NGO sentiasa turun kepada masyarakat serta menjadi duta penyatuan untuk kerja dakwah dan kebajikan.

- Advertisement -

“Tujuan saya berada di Sabah adalah untuk menyantuni masyarakat Sabah dan pemberian ini adalah sebagai tanda ingatan daripada pihak kami,“ ujarnya pada Majlis Penyerahan Sumbangan NGO Sabah di Masjid Al-Kauthar, di sini semalam.

Beliau bersama Yayasan Taqwa-MAIWP menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada 10 NGO di negeri ini.

NGO yang menerima sumbangan pada majlis itu ialah Persatuan Kebajikan Dan Prihatin Dakwah Sabah (PKDS), Pertubuhan Sahabat Alam Muslimah, Kelab Alam Lestari Sabah, Persatuan Muallaf Tawau (PMT), Pertubuhan Muafakat Al-Fateh Sabah (MUAFAKAT), Pertubuhan Kesejahteraan Komuniti Keningau (Keningau Sejahtera), Persatuan Anak Kelantan Perantauan Malaysia Cawangan Tawau, Kelab Belia Kampung Pukat, Persatuan Muslimah Prihatin Tuaran (INSYIRAH) dan Pertubuhan Kasih Tuaran (Tuaran Care).

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Mualaf Tawau, Siti Khadijah Pecca Abdullah berkata pihaknya amat bersyukur dan mengucapkan terima kasih atas sumbangan tersebut.

“Terima kasih kerana memberi sumbangan kepada aktiviti persatuan kami dan insya-Allah, kami akan menggunakan mengadakan aktiviti Konvensyen Mualaf Daerah Tawau dan Kalabakan pada bulan November ini.

“Di sini saya ingin menyeru kepada mualaf-mualaf sekitar daerah Tawau dan Kalabakan untuk mendaftar sebagai ahli persatuan,“ katanya.

Dalam majlis sama, Idris turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM100,000 kepada Masjid Pulau Larapan Hujung Semporna bagi tujuan membaik pulih. – HARAKAHDAILY 26/9/2022

- Advertisement -