Superlawak FC teruja beraksi di Kelantan

Foto HarakahDaily: ASRI HAZIM

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU: Perlawanan persahabatan bola sepak amal antara Kesuma FC (Kelantan) dan Superlawak FC yang berlangsung di sini, semalam sudah lama ditunggu team Superlawak FC.

Advertisement

Artis Jep Sepahtu atau nama sebenarnya, Muhd Nadzri Zainal Abidin, berkata beliau dan pasukannya begitu teruja apabila perlawanan berlangsung di Kelantan setelah berkunjung ke beberapa negeri, termasuk Sarawak, Sabah, Melaka dan Kedah.

Katanya, hampir semua negeri diadakan perlawanan persahabatan bola sepak amal sebelum ini.

“Apabila perlawanan berlangsung di Kelantan, Alhamdulillah akan melengkapkan lagi perlawanan persahabatan yang kita anjurkan,” ujarnya di sini.

Beliau juga berkata, tambah teruja apabila diberi peluang beraksi bersama lagenda bola sepak Kelantan, Piya.

Sementara itu, Shah Nizam Abdul Halim (Exist/Slam) berkata, program ini bertujuan untuk merapatkan hubungan dengan masyarakat di setiap negeri.

Gitaris kelahiran Johor itu berkata, bola sepak sebenarnya medan yang boleh dijadikan untuk merapatkan hubungan antara pemain yang terlibat dengan orang ramai.

“Kita akan merasakan hubungan ini begitu unik seperti satu keluarga apabila bersama pemain pihak lawan dan orang ramai yang datang menonton,” katanya.

Pada perlawanan ini, Superlawak FC menang melalui penentuan sepakan penalti 5-4 selepas perlawanan terikat 4-4 sehingga tamat permainan. Sepakan kemenangan Superlawak FC dijayakan Jep Sepahtu.

Kumpulan Superlawak FC turut dianggotai Rahim Sepahtu (Rahim Mat Ali), Pak Ya Sepahtu (IIya Buang) dan pelakon Roy Azman.

Program berkenaan anjuran Kelab Usahawan Sosial Malaysia dengan kerjasama Majlis Guru Besar Kota Bharu. – HARAKAHDAILY 25/9/22