PRU15 tidak dijalankan serentak gugat pemulihan ekonomi

Dato' Seri Mustapa Mohamed, ketika sidang media di Jeli.
- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

JELI: Proses pemulihan ekonomi negara akan terganggu jika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak dilakukan serentak memandangkan ada negeri tidak bersedia membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) akhir tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Seri Mustapa Mohamed berkata, negara akan berdepan kos perbelanjaan yang tinggi dalam keadaan kerajaan mahu memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi negara.

- Advertisement -

Malah, katanya ia menyusahkan rakyat, terutama pengundi yang mungkin terpaksa berdepan dengan pelbagai kekangan seperti terpaksa berulang kali pulang untuk mengundi.

“Pertama sekali, kerajaan mungkin terpaksa menanggung kos hampir dua kali ganda jika PRU15 tidak dilakukan secara serentak.

“Selain itu, kempen PRU15 terpaksa dilakukan dua kali dan akan berlaku ‘perang mulut’ yang kemungkinan akan wujud ketegangan dalam kalangan masyarakat,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada 64 pelajar cemerlang di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kos PRU15 sekiranya ada negeri tidak bersedia membubarkan DUN serentak dengan parlimen.

Negeri-negeri yang diterajui PAS dan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini memaklumkan tidak akan membubarkan DUN sekiranya PRU dilakukan tahun ini.

Naib Presiden PAS, Senator Dato’ Idris Ahmad, dilaporkan berkata PAS berpendapat tidak ada keperluan untuk kerajaan membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU diadakan ketika musim banjir. – HARAKAHDAILY 25/9/22

- Advertisement -