Media diharap kekal hubungan baik dengan kerajaan, pembangkang

Takiyuddin (depan, empat dari kiri) dan Ali (depan, tiga dari kanan) menyertai petugas media dalam pertandingan boling pada Majlis Mesra Media Bersama Menteri Tenaga dan Sumber Asli di Bukit Kiara Equestrian & Country Resort, Kuala Lumpur pada 25 Sept 2022. (FOTO: MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE)
- Advertisement -

Oleh ZULHAIDI MANSOR

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pihak media diharapkan mempunyai dan menjalinkan hubungan yang baik secara berterusan dengan semua pihak, tidak kira kerajaan mahupun pembangkang.

Menteri di Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, media seharusnya bersikap profesional dalam melaporkan sesuatu perkara yang merupakan ciri-ciri penting dalam dunia kewartawanan.

“KeTSA melahirkan rasa syukur dan mengalungkan penghargaan buat pihak media yang seringkali memainkan peranan penting dalam mempermudahkan segala urusan pihak kementerian ini,” ujarnya pada Majlis Mesra Media KeTSA bersama Menteri Tenaga dan Sumber Asli di Bukit Kiara Equestrian & Country Resort, di sini, hari ini. 

Takiyuddin ketika berucap merasmikan Majlis Mesra Media Bersama Majlis Mesra Media KeTSA bersama Menteri Tenaga dan Sumber Asli di Kuala Lumpur pada 25 Sept 2022.

Antara yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Bijul dan Setiausaha Bahagian Kanan (Tanah, Ukur & Geopartial), Datuk Abdul Rahman Johor.

Mengulas lanjut, kata beliau, KetSA mempunyai hubungan baik dengan media, dan ia terbukti apabila ada soalan-soalan yang ditanya oleh pihak media dibalasnya dengan berkata, my comment is no comment.

“Namun, media tidak melaporkan kenyataan saya itu sebagai ‘enggan mengulas’, dan bagi saya, itu adalah perkara yang cukup baik kerana media memahami kedudukan saya sebagai seorang menteri di KeTSA.

Ali (empat dari kiri) dan Abdul Rahman (dua dari kanan) bersama kumpulan 8 yang menjuarai pertandingan boling pada Majlis Mesra Media Bersama Menteri Tenaga dan Sumber Asli (FOTO: MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE)

“Kadang-kadang apabila kita komen, tafsiran itu akan membawa andaian yang menyebabkan dasar-dasar kerajaan perlu ditiadakan dan ia merupakan salah satu seni yang difahami oleh golongan media,” jelasnya.

Tambah beliau, walaupun tenaga dan sumber asli bukan bidang kepakarannya, yang mana sebelum ini beliau merupakan seorang peguam, namun belaiu menerimanya sebagai suatu tanggungjawab.

“Beruntungnya, saya dihadirkan oleh orang kanan saya yang  pakar dalam bidang teknikal iaitu Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber asli, Datuk Ali Biju. Beliau merupakan seorang jurutera dan merupakan ‘orang teknikal’ dengn kemahiran yang tinggi dalam mengendalikan unit tenaga dan sebagainya. 

Takiyuddin tidak ketinggalan menunjukkan skil bermain boling. (FOTO: MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE)

“Namun, saya mempunyai sedikit pengalaman ketika menjadi EXCO mengendalikan isu-isu berkaitan perhutanan, jadi saya fahamlah serba sedikit berkaitan perhutanan, hutan simpan dan reserved land dalam pengetahuan saya,” ujarnya.

Bersempena majlis berkenaan, Takiyuddin menyertai petugas media menerusi acara pertandingan boling.

Pertandingan berkenaan dijuarai oleh kumpulan 8 yang diketuai Abdul Rahman serta melibatkan petugas media HarakahDaily, Sinar Harian, TV3 dan RTM. – HARAKAHDAILY 25/9/2022

- Advertisement -