Semangat rakyat pertahan kerajaan Terengganu masih utuh

Dato’ Dr Alias Razak
- Advertisement -

Oleh ASLANI M | Foto MUHAMAD ARIF ISMAIL

KUALA NERUS:
Himpunan Teguh Pertahan yang berakhir hari ini menjadi antara ukuran memperlihatkan pengaruh PAS masih utuh di Terengganu selepas menguasai kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum (PRU).

Menghimpunkan ribuan rakyat dalam tempoh tiga hari tanpa sebarang upah dan diangkut dengan kenderaan sesuatu yang sukar untuk dilakukan sesebuah parti politik.

Namun, PAS Terengganu membuktikan keupayaan menghimpunkan ribuan rakyat tempoh tiga hari yang bermula petang Khamis lepas. Malah hari ini ribuan lagi hadir terutamanya anak-anak muda dan murid-murid Pasti mengikuti program yang disediakan.

- Advertisement -

Anak-anak muda memenuhi padang berhampiran Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak bagi menyertai liga penanti, pidato mahasiswa dan mewarna murid-murid Pasti.

Mengulas perkembangan itu Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu Dato’ Dr Alias Abdul Razak berkata, pihaknya tidak menjangka kehadiran luar jangka pada himpunan tersebut.

Katanya program santai bersama dua murabi iaitu Tan Sri Tuan Abdul Hadi Awang dan Ustaz Azhar Idrus petang semalam menjadi kemuncak apabila puluhan ribu hadir.

“Kita jarang mengadakan pada sebelah petang, namun kehadiran petang semalam begitu mengujakan, lebih ramai berbanding program himpunan bersama tiga menteri besar iaitu dari Kedah, Kelantan dan Terengganu pada malam semalam.

“Apa yang berlaku itu mengulangi kejayaan Fastaqim pada 2017 yang diadakan di Pantai Tok Jebal menjelang berlangsung PRU 2018. Dan lima tahun selepas itu semangat rakyat untuk mempertahankan PAS nampaknya belum surut.

“Sedangkan kalau dikira program Himpunan Teguh Pertahan masih di peringkat pra dan belum lagi program sebenar yang kita rancang diadakan menjelang PRU15,” katanya ketika ditemui pada program Ameerah di Kampung Pangkalan Arang di sini hari ini.

Dr Alias yang juga anggota kerajaan negeri berkata, Himpunan Teguh Pertahan sebenar dijangka diadakan tahun hadapan sekiranya PRU15 tidak diadakan akhir tahun ini.

Menurutnya juga berdasar perancangan awal Himpunan Teguh Pertahan akan menghimpunkan semua menteri besar, menteri dan timbalan menteri dari PAS di lokasi berhampiran Jambatan Angkat bagi melihat semangat rakyat bagi mempertahankan kerajaan negeri yang ada sekarang. – HARAKAHDAILY 24/9/2022

- Advertisement -