Raja Charles III: Satu memori di Islamic Foundation, UK

Raja Charles ceria bersama kanak-kanak dan warga Islamic Foundation UK.
- Advertisement -

KEMANGKATAN Ratu Elizabeth II pada tanggal 8 September 2022 yang lalu menamatkan salah satu rekod pemerintahan monarki paling lama dalam sejarah moden dunia iaitu melebihi 70 tahun. Sejurus itu Raja Charles III telah dinobatkan sebagai Raja Great Britain yang baharu dalam upacara yang penuh gilang-gemilang serta mendapat respon yang pelbagai dari masyarakat dunia.

Harapan tinggi diletakkan kepada Raja Charles III untuk membawa perubahan dan era baharu kepada Great Britain terutamanya dalam keadaan yang penuh mencabar ketika ini akibat daripada krisis tenaga yang kritikal, kadar inflasi yang tinggi dan kemungkinan besar kemelesetan ekonomi yang bakal melanda Great Britain.

- Advertisement -

Tidak kurang juga yang menolaknya dan mengaitkan dengan kedurjanaan imperialisme Great Britain yang menjarah dan menjajah dunia khususnya Dunia Islam. Malah telah mula kedengaran suara-suara dari Ireland Utara dan Scotland yang mahu menuntut kemerdekaan atau pemisahan dari Great Britain termasuk dari wilayah-wilayah yang masih berada di bawah jajahannya.

Namun ramai penganalisa politik antarabangsa dan institusi monarki Great Britain tidak menolak kemungkinan Raja Charles III bakal menempuhi laluan berliku sebagai pemerintah baharu yang dibayangi oleh era pemerintahan ibundanya Ratu Elizabeth II yang telah bertapak sejak sekian lama.

Sekitar awal tahun 2003 ketika menuntut di Markfield Institute of Higher Education yang berada di bawah pentadbiran Islamic Foundation, Leicestershire, United Kingdom, saya ditugaskan untuk membaca beberapa potong ayat suci al-Quran dalam majlis perasmian bangunan baharu oleh Raja Charles III di pusat pengajian tinggi Islam tersebut.

Walaupun hampir 20 tahun berlalu, ia masih lagi berada dalam lipatan ingatan saya sehingga ke hari ini. Dalam ucapan Raja Charles III ketika upacara perasmian tersebut, antara lain beliau menyatakan bahawa; “Barat sepatutnya berterima kasih kepada tamadun Islam kerana jika bukan kerananya maka Barat tidak akan dapat mengecapi kemajuan seperti hari ini”.

Namun ucapan yang begitu bermakna ini tidak diketengahkan oleh media Barat dan ianya tidak mengejutkan kerana pentadbiran Great Britain pada ketika itu diterajui oleh parti Buruh pimpinan Tony Blair yang menjadi sekutu utama Presiden Amerika Syarikat George W. Bush dalam kempen perang menentang keganasan ke atas Afghanistan dan Iraq yang menyebabkan kehancuran negara tersebut dan membuahkan Islamofobia sehingga ke hari ini.

Bagi orang Barat sama ada ahli politik mahupun akademik yang jujur, mengakui peranan tamadun Islam terhadap kemajuan tamadun Barat. Ini dapat dilihat daripada bukti-bukti yang begitu banyak diketengahkan berkaitan hubungan antara tamadun Islam dengan Barat sejak sekian lama dan sumbangan pengaruh peradaban Islam kepada kemajuan Barat pada hari ini.

Ketika Barat berada di era “kegelapan” dan “kemunduran”, Dunia Islam berada di era keemasan dalam pelbagai lapangan ilmu pengetahuan dan kemajuan di samping berjaya mengislamkan tamadun-tamadun manusia sebelumnya dengan menerapkan roh aqidah, syariat dan akhlak di dalamnya.

Namun setelah tamadun Barat di zaman pertengahan mula sedar tentang kemajuan tamadun Islam dan mula mempraktikkannya serta mula memaparkan hasil, Barat mula memanipulasi Dunia Islam sehingga akhirnya menyebabkan ribuan manuskrip milik tamadun Islam “jatuh” ke tangan Barat dan kini disimpan dengan rapi di beberapa universiti tersohor Barat seperti di Oxford, Cambridge, Laden dan lain-lain lagi.

Ketika zaman kegemilangan tamadun Islam dari sudut peradaban khususnya ketika era pemerintahan Bani Abbasiyyah dan kerajaan Islam di Sepanyol, Barat dan ketamadunannya berada di zaman kegelapan.

Zaman Bani Abbasiyah adalah kemuncak perkembangan ilmu pengetahuan di dunia ketika itu di mana ia menyebabkan kebanjiran orang-orang Barat ke Damsyik dan Baghdad.

Ketika era tersebut lahirnya cendikiawan-cendikiawan terkemuka Islam seperti Ibnu Sina, Al Farabi, Al Buruni dan ramai lagi. Ketika era ini juga akibat daripada perkembangan tamadun Islam dan ilmu pengetahuan, maka berlakulah perkembangan ilmu seperti geografi, matematik, astronomi, perubatan, sains dan banyak lagi sehingga lahir cendekiawan seperti Aristotle, Euclid, Claudius Ptolemy dan lain lain lagi.

Ketika ini lahir “kitab” perubatan unggul yang dikenali sebagai Canon of Medicine yang mengenal pasti penyakit batuk kering sebagai penyakit berjangkit, radang paru-paru, pelbagai jenis penyakit saraf, jangkitan penyakit melalui pencemaran air dan tanah, demam campak, cacar, barah perut, kemajuan rawatan penyakit mata dan banyak lagi.

Selain daripada itu, hospital di zaman Bani Abbasiyah adalah yang termaju dan paling efektif ketika itu dengan dianggarkan terdapat lebih daripada 30 buah hospital secara keseluruhannya yang terletak di bandar-bandar utama di Parsi, Syria dan Mesir.

Begitu juga dalam bidang saintifik Islam, dalam bidang optik seperti teori kanta, kepantasan, pengaliran dan biasan cahaya. Dalam bidang kimia, pelbagai kemajuan besar dicapai ketika itu seperti proses penyulingan, penapisan dan sublimation kimia dan kewujudan unsur sebatian baharu seperti soda karbonat, borat, silver nitrat dan lain-lain lagi.

Ilmu matematik dan astronomi turut berkembang pesat ketika itu seperti pengenalan sifar, perpuluhan, algebra, trigonometry, kajian cakerawala seperti bintang, bulan, putaran bumi mengelilingi matahari, kedudukan orbit bumi dan lain-lain lagi.

Industri dan perdagangan menjadi teras kepada kecemerlangan Bani Abbasiyah di mana ia adalah yang termaju di dunia ketika itu dan boleh dikatakan “road map” utama perdagangan dan perindustrian yang wujud sehingga ke hari ini. Ketika itu boleh dikatakan hampir setiap wilayah mempunyai industri utama yang menjadi pemangkin ekonomi dan perdagangan.

Mosul menjadi peneraju industri kapas dan kain, Baghdad menjadi peneraju industri kaca, perhiasan, tembikar dan sutera, Maghribi menjadi peneraju industri barangan kulit dan begitu juga bandar-bandar lain yang menjadi peneraju industri logam, minyak wangi, kertas, tekstil, dadah perubatan dan lain-lain lagi.

Kincir angin yang banyak digunakan hari ini adalah hasil teknologi di zaman Bani Abbasiyah yang ketika itu digunakan sebagai salah satu elemen pengairan dalam sistem pertanian ladang. Seterusnya di zaman ini, bermula inovasi dan penggunaan awal kuasa hidro, penggunaan kuasa ombak, gear, pam dan membina kapal-kapal perdagangan besar untuk merentas lautan termasuk penggunaan dinar emas.

Semua kemajuan ini kemudiannya diadaptasi oleh tamadun Barat dan dikembangkan penyelidikan serta kemajuan sebagaimana yang kita lihat hari ini. Maka tidak salah lagi, ketamadunan Islam mempunyai pengaruh dan jasa besar terhadap kemajuan yang dicapai oleh Barat pada hari ini.

Maka adalah benar sebagaimana ungkapan Raja Charles III bahawa sewajarnya Barat menghargai sumbangan dan berterima kasih kepada tamadun Islam terhadap apa yang dikecapinya hari ini. Islam sebenarnya adalah tamadun yang cukup besar dan berjaya membentuk dunia sebagaimana yang kita lihat hari ini.

Umat Islam sewajarnya mengangkat kembali maruah, jatidiri dan membuktikan kepada dunia bahawa Islam dan ketamadunannya tidak pupus dan ditelan zaman. Namun sikap umat Islam sendiri membuatkan dunia tidak mengendahkan mereka serta menganggap segala kemajuan tersebut adalah sejarah lampau.

Dunia Islam perlu berubah serta mengeratkan perpaduan dan kesatuan kerana dengan itu ia akan dapat mengembalikan kekuatan, kesatuan serta kemajuan yang seterusnya mampu mengembalikan maruah dan jatidiri umat Islam. Sejarah telah membuktikannya dan dengan keazaman serta kepercayaan, sejarah mampu berulang kembali.

Malaysia Sejahtera

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 24/9/2022

- Advertisement -