Pengunjung Kedah Motor Fest melebihi sasaran

Oleh SARINA ISMAIL

SUNGAI PETANI:
Lebih 16,000 peserta khususnya anak-anak muda menyertai Kedah Motor Fest, sempena Karnival Sejahtera Prihatin Negara 2022, hari ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penyertaan bukan sahaja dari kalangan rakyat Kedah tetapi turut disertai peminat motosikal dari Perlis.

Advertisement

“Penyertaan Kedah Motor Fest ini bukan sahaja dari kalangan peserta Kedah tetapi terdapat juga dari Perlis.

“Motosikal yang dipamerkan juga dari pelbagai kategori,” kata beliau.

Sanusi tiba ke Dataran Amanjaya Mall, di sini kira-kira jam 3.30 petang dengan menunggang Lambretta dengan diiringi 30 penunggang lain daripada Kelab Vespa Kedah.

Konvoi motosikal yang bermula dari Masjid Laguna juga turut disertai lima peserta dari Betong, Thailand.

Ujarnya, program seumpama itu akan diadakan secara berkala terutama ketika musim cuti sekolah.

Enam buah motosikal termasuk sebuah vespa antara hadiah utama cabutan bertuah pada program petang ini. Tiga daripadanya adalah sumbangan Menteri Besar sendiri.

Sementara pengarah program, Ustaz Nurul Amin Hamid berkata, kehadiran pengunjung sepanjang tiga hari karvinal itu berlangsung melebihi sasaran 50,000 orang.

Ditanya sama ada kehadiran ribuan anak muda bermotosikal menganggu lalu lintas dan ketenteraman awam, ujar beliau, pihaknya mendapat kerjasama dari Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk kempen menunggang secara selamat terutama kepada yang terlibat.

“Kedah Motor Fest ini juga menjadi platform kepada kelab-kelab atau kumpulan motosikal seluruh Kedah.

“Mereka ini ada kumpulan masing-masing. Jadi kita disatukan di dalam program ini,” tambah beliau.

Karnival Sejahtera Prihatin Negara 2022 merupakan program anjuran bersama Kementerian Belia dan Sukan bersama kerajaan negeri.

Program perasmian semalam turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau dan Sanusi turut menyertai Fun Ride pada awal pagi semalam.

Dalam masa yang sama tiga buah motosikal berjaya dimenangi oleh tiga pengunjung bertuah pada hari kedua semalam.

Karnival itu berlangsung selama tiga hari bermula 22 September lalu. – HARAKAHDAILY 24/9/2022