Malaysia berjaya kurangkan HCFC

Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, bersama pemenang pelbagai pertandingan sempena Hari Ozon peringkat kebangsaan.
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

SEPANG: Malaysia berjaya mengurangkan penggunaan Hidro Kloro Fluoro Karbon (HCFC), iaitu gas rumah kaca sebanyak 287.34 tan Potensi Penipisan Ozon (ODP) atau 64.8 peratus, berbanding sasaran awal 515.78 tan ODP sehingga 2021.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata kejayaan itu dicapai sepanjang Peringkat 2 Pelan Pengurusan Penghapusan HCFC, iaitu antara 2017 hingga 2022.

- Advertisement -

Katanya, pelaksanaan Pelan Peringkat 1 antara 2012 hingga 2016 pula berjaya mengurangkan 112 tan ODP, iaitu pengurangan sebanyak 19 peratus, berbanding sasaran awal 10 peratus.

“Pelan Pengurusan Penghapusan HCFC adalah antara usaha kerajaan untuk melindungi lapisan ozon secara berperingkat bermula pada 2012 sehingga larangan mutlak pada tahun 2040,” katanya ketika melancarkan sambutan Hari Ozon Sedunia peringkat kebangsaan di Bandar Gamuda Cove di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Dato’ Seri Dr Zaini Ujang dan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar.

HCFC ialah bahan kimia yang digunakan sebagai bahan pendingin dalam alat penyaman udara bangunan dan sistem penyejuk beku, bahan pengembang dalam pembuatan busa, bahan pemadam api dan pencuci dalam proses industri.

Hari Ozon Sedunia disambut pada 16 September setiap tahun oleh Malaysia dan 197 negara parti kepada Protokol Montreal dengan tema tahun ini ialah “Protokol Montreal@35 – Kerjasama Global Melindungi Kehidupan di Bumi”.

Tuan Ibrahim berkata, Malaysia meratifikasi Konvensyen Vienna bagi Perlindungan Lapisan Ozon dan Protokol Montreal mengenai Bahan Pemusnah Lapisan Ozon pada 29 Ogos 1989.

Katanya, aktiviti antropogenik seperti perlombongan, perindustrian, pertanian dan pengangkutan menyebabkan berbilion tan karbon dioksida dilepaskan ke atmosfera bumi dan secara tidak langsung memberi impak kepada perubahan iklim di seluruh dunia.

Menyedari perkara ini, katanya Malaysia meratifikasi Pindaan Kigali kepada Protokol Montreal pada 21 Oktober 2020, yang bertujuan mengurangkan penggunaan Hidro Fluoro Karbon (HFC), iaitu alternatif kepada HCFC.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat mengurangkan penggunaan HCFC seperti sektor industri pembuatan busa tempatan yang berjaya mengubah teknologi untuk menggunakan bahan mesra ozon.

Selain itu, katanya sektor industri penyejukbekuan dan penyaman udara memainkan peranan penting dalam kejayaan ini.

Mulai 2020, katanya semua kelengkapan penyejukan dan penyaman udara baharu dengan kapasiti melebihi 2.5 kuasa kuda menggunakan bahan refrigeran mesra ozon.

“Malaysia menyumbang secara signifikan kepada usaha menyelamatkan lapisan ozon hasil kombinasi efektif melalui pelaksanaan dasar, penguatkuasaan undang-undang dan kerjasama erat pelbagai kementerian dan agensi kerajaan serta pihak industri.

“Turut memainkan peranan penting menjayakan pelaksanaan Protokol Montreal di Malaysia termasuk Tabung Dana Pelbagai Hala kepada Pelaksanaan Protokol Montreal dan agensi pelaksana seperti Bank Dunia, United Nations Development Progamme (UNDP), United Nations Environment Programme (UNEP) dan United Nations Industrial Development Organization (UNIDO),” katanya. – HARAKAHDAILY 24/9/22

- Advertisement -