Khemah besar di kompleks sukan sendat orang ramai

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN | Foto RIZAL TAHIR

KUALA NERUS:
Program Bicara Murabbi sempena himpunan Teguh Pertahan (PTP) yang diadakan di Dataran Kompleks Sukan Negeri Terengganu Kuala Nerus menjadi kemuncak program tersebut petang semalam.

Sekitar 10,000 hadir memeriahkan himpunan tersebut bagi mengikuti Slot Bicara Murabbi yang menampilkan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus.

Khemah besar tempat berlangsung program sendat dengan orang ramai sehingga melimpah ke luar khemah di dataran Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak.

- Advertisement -

Sebelum itu kira-kira 5,000 ahli Alternatif Riding Club (ARC) yang diketuai Ketua Dewan Pemuda PAS negeri Harun Esa, mengiringi Tuan Guru Abdul Hadi dengan menaiki motosikal pelbagai kelas bermula dari Jambatan Angkat menuju dataran kompleks sukan.

Cuaca yang baik petang semalam membuatkan program berjalan lancar di samping memberi peluang orang ramai hadir biarpun ramai terpaksa berjalan jauh.

Sementara itu, Fatin Aina Mardhiah Mat Rahim menggegarkan pentas himpunan apabila berjaya menang cabutan bertuah dengan memperolehi kereta Axia.

Beliau yang kelihatan begitu terkejut menerima cabutan bertuah itu disampaikan Presiden PAS. Selain itu orang ramai turut berpeluang menerima hadiah cabutan bertuah berupa motosikal, topi keledar dan peralatan motosikal.

Hari ini merupakan hari terakhir himpunan dengan acara pertama perhimpunan Pemuda Islam Terengganu diikuti liga penalti, pertandingan mewarna Pasti, pidato mahasiswa, sukan santai dan akan berakhir dengan persembahan nasyid serta pidato pemuda. – HARAKAHDAILY 24/9/2022

- Advertisement -