JPV diarah pantau ternak babi punca pencemaran Sungai Rambai

DENGKIL: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mengeluarkan notis kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) bagi urusan pemantauan ladang penternakan babi yang dikatakan menjadi punca pencemaran di Sungai Rambai di Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Menterinya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pihaknya telah meneliti laporan lengkap daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhubung pencemaran sungai berkenaan dan mengarahkan JPV melakukan pemantauan selaku pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen penternakan.

Bercakap pada sidang media selepas melancarkan Sambutan Hari Ozon Sedunia 2022 Peringkat Kebangsaan di sini hari ini, beliau berkata pemberi lesen iaitu JPV, bertanggungjawab memantau ladang penternakan secara berterusan selain akur pada undang-undang yang telah ditetapkan dan memastikan pihak penternak mempunyai lesen sah untuk beroperasi.

Advertisement

Berdasarkan Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2020, ia meletakkan Sungai Rambai menjadi satu-satunya sungai di Malaysia menghuni tangga teratas sungai tercemar di Kelas Lima berdasarkan Standard Kualiti Air Kebangsaan bagi tempoh dua tahun berturut-turut iaitu pada tahun 2019 dan 2020.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata KASA komited bagi memulihkan sungai itu daripada tahap kritikal ke satu tahap yang lebih baik, sekurang-kurangnya mempunyai hidupan dalam sungai.

“Sungai Rambai ini kosong, oksigen terlarutnya tiada dan tiada sebarang kehidupan. Ia memerlukan tindakan semua agensi berkaitan termasuk kerajaan negeri untuk melestarikan sungai tersebut,” katanya.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Tuan Ibrahim berkata kerajaan melaksanakan pelbagai usaha dalam melindungi lapisan ozon antaranya menerusi Pelan Pengurusan Penghapusan Hidroklorofluorokarbon (HCFC) secara berperingkat bermula 2012.

Katanya Malaysia meratifikasi Pindaan Kigali kepada Protokol Montreal pada 21 Okt 2020, bertujuan mengurangkan penggunaan hidrofluorokarbon (HFC) iaitu alternatif kepada HCFC yang merupakan gas rumah kaca yang mempunyai potensi kepada pemanasan global lebih tinggi.

“Komitmen pelaksanaan Pindaan Kigali dijangka mengurangkan pelepasan sebanyak 105 juta tan karbon dioksida setara, manakala suhu global pula dapat dikurangkan sebanyak 0.5 darjah Celcius pada 2100,” katanya.

Hari Ozon Sedunia disambut pada setiap 16 Sept sebagai memperingati tarikh Perjanjian Protokol Montreal Mengenai Kawalan Bahan Pemusnah Ozon yang telah ditandatangani pada 16 Sept 1987.

Tema pada tahun ini adalah Montreal Protocol@35 – Global Cooperation Protecting Life on Earth. – BERNAMA