Bubar Parlimen awal, 3 negeri saja adakan PRN?

Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, melancarkan Hari Ozon Sedunia peringkat kebangsaan.
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

SEPANG: Tindakan membubarkan Parlimen lebih awal akan menyebabkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hanya diadakan sepenuhnya di peringkat Parlimen, manakala hanya tiga negeri dijangka menjalankan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata PAS sudah mengisytiharkan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) tiga negeri yang dikuasai, iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah, tidak akan dibubarkan pada tahun ini.

- Advertisement -

Menurutnya, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan (yang dikuasai Pakatan Harapan) juga tidak akan membubarkan DUN masing-masing, menjadikan enam negeri tidak akan mengadakan PRN.

Selain itu, katanya Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor sudah selesai mengadakan PRN dan jika Kerajaan Persekutuan membubarkan Parlimen, bermakna negeri yang akan mengadakan PRN hanya tiga negeri, iaitu Perak, Pahang dan Perlis.

“Sekiranya Parlimen ingin dibubarkan, kerajaan perlu mengambil kira semua faktor. Apa pun kita serah kepada Perdana Menteri untuk mengisytiharkan tarikh PRU15,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan sambutan Hari Ozon Sedunia peringkat kebangsaan di Bandar Gamuda Cove di sini, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, hasil program retreat di Pulau Langkawi, baru-baru ini, PAS memutuskan untuk kekal dalam Perikatan Nasional (PN), tetapi parti bersifat anjal yang bermaksud, mengenal pasti sekurang-kurangnya 25 kawasan Parlimen yang kritikal.

“Kalau PN bertembung dengan BN (Barisan Nasional), kedua-dua akan rugi, yang menang jadi abu yang kalah jadi arang. Jadi kita berpendapat bahawa kerusi kritikal begini, kita sedia untuk duduk berbincang dan saya dapat maklumat bahawa mereka (BN) juga positif, tetapi belum ada pertemuan, belum ada perbincangan,” katanya.

Sementara itu, katanya antara masalah jika PRU15 diadakan pada hujung tahun ini, termasuk penggunaan anggota polis jika ditakdirkan berlaku banjir ketika itu.

“Kita minta lindunglah…ditakdirkan berlaku banjir, anggota polis kita nak kawal banjir lagi, nak jaga peti undi, nak jaga keselamatan negara lagi.

“Akta Pilihan Raya mewajibkan anggota polis mesti mengiringi setiap peti undi. Bayangkan setiap peti undi mesti ada anggota polis iringi. Itu akta, tak boleh guna RELA atau agensi lain,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/9/22

- Advertisement -