Utamakan Penyatuan Ummah demi kesejahteraan Malaysia

- Advertisement -

PAS Kawasan Kluang yang telah bermesyuarat pada malam semalam telah membuat keputusan sebulat suara menggesa supaya usaha Penyatuan Ummah diberikan keutamaan dalam pertimbangan yang ingin diambil oleh kepimpinan parti khususnya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

Pertimbangan ini bukan untuk kepentingan politik tetapi untuk kepentingan dan masa hadapan masyarakat Malaysia yang ditunjangi oleh Melayu atau Islam.

Gesaan ini dibuat setelah mengambil kira perkembangan politik negara yang memperlihatkan kesamaran hubungan politik di antara parti politik Melayu atau Islam dalam satu bentuk permuafakatan ummah berasaskan kepada Firman Allah S.W.T yang bermaksud;

- Advertisement -

“Dan taatilah kalian kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kalian saling berbantah-bantahan; jika tidak nescaya kalian menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kalian dan sabarlah (dalam menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah  berserta orang-orang yang sabar.” 

(al-Anfal: 46)

Usaha kepimpinan PAS untuk meneruskan usaha Penyatuan Ummah sangat jelas dapat dilihat dalam Ucapan Dasar Presiden PAS di dalam Muktamar Tahunan PAS kali ke 68 baru-baru ini dengan menyebut bahawa perpecahan yang berlaku di kalangan Melayu Islam telah menyebabkan kelemahan umat sehingga menghilangkan kuasa politik memerintah negara. 

Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menyatakan bahawa PAS bertanggungjawab mengajak perpaduan umat untuk melakukan islah daripada kesilapan kerajaan terdahulu dan PAS berusaha menyatukan parti Melayu Islam yang berselerak dengan pendekatan yang berpecah sebelum ini dan seterusnya menyatukan kalangan bukan-Islam yang tidak ekstrem bagi membentuk sebuah negara masyarakat majmuk yang sejahtera.

Dalam usaha penyatuan ini, Presiden PAS menyebut bahawa PAS memperkenalkan pendekatan mengikut petunjuk al-Quran berkonsepkan Keluarga Malaysia Masyarakat Majmuk dan PAS menolak sebarang agenda perpaduan kaum yang sempit dan mempunyai wawasan yang terhad. 

Oleh kerana itu, PAS Kawasan Kluang melihat bahawa usaha murni PAS ini perlulah disambut dengan sebaiknya oleh semua pihak. Keputusan PRU14 yang lalu telah menyedarkan kita betapa pentingnya Penyatuan Ummah sehingga terbentuknya Muafakat Nasional (MN) dan terbentuknya Kerajaan Perikatan Nasional (PN). Jika kedua-dua permuafakatan ini berjaya dibentuk demi kepentingan ummah, kenapa tidak ia diperkukuhkan satu penyatuan dengan asas yang sama?

Sekian.

KHAIRUL FAIZI AHMAD KAMIL
Yang Dipertua PAS Kawasan Kluang
26 Safar 1444 / 23 September 2022 – HARAKAHDAILY 23/9/2022

- Advertisement -