Simbiotik PAS-Umno realisasi yang digeruni DAP-PH

KUALA LUMPUR: Hubungan PAS-Umno merupakan simbiotik di mana kedua-dua parti hakikatnya saling memerlukan satu sama lain, namun inilah perkara yang tidak dimahukan oleh Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP. 

Ketua Penerangan PAS, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, PAS dan Umno mempunyai kekuatan hingga ke akar umbi di mana penyatuan kedua-duanya merupakan petunjuk kepada teras Melayu-Islam di negara ini. 

Jelas beliau, DAP-PH dan sekutu mereka tidak mahu PAS dan Umno menjadi gabungan koalisi politik atau mempunyai konsensus dalam PRU15 kerana kekuatan itu akan diterjemahkan dengan perolehan majoriti dua pertiga kerusi Parlimen. 

“Sebab itu kita (PAS) cukup berusaha untuk dalam apa jua (sama ada) berhadapan dengan ombak badai, (hatta) berdepan dengan kritikan sama ada daripada pemimpin-pemimpin Umno sendiri.  

“PAS mengambil pendekatan, kita kena sabar dan mesti terus usaha murni menyatukan ummah ini supaya sekurang-kurangnya 31 kerusi yang ada keperluan untuk kita tidak bertembung sesama sendiri, kita jangan bertembung.  

“Dan kita ada persetujuan politik terhadap kerusi-kerusi tersebut,” harapnya ketika diwawancara secara langsung dalam rancangan Bual Bicara di Bernama TVmembicarakan tajuk “PAS berakidah, bukan berideologi?” di stesen media itu, di sini kelmarin. 

Sebagai pemimpin masyarakat, PAS dan Umno serunya, perlu mendidik pengikut dan masyarakat kepada suasana politik semasa dengan maklumat-maklumat yang lebih tepat, antaranya jika berlaku pertembungan tiga penjuru, ia akan merugikan orang Melayu. 

Jelasnya, dalam kajian-kajian politik sama ada daripada swasta mahupun daripada pengkaji politik universiti memberitahu, sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru akan memberikan kelebihan kepada PH.  

Tegas beliau, musuh PAS dan Umno adalah jelas iaitu mana-mana pihak yang tidak mahu mengikut atau memusuhi Islam serta mengganggu gugat tonggak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Musuh-musuh tersebut menurutnya, turut pernah mengganggu gugat kedudukan institusi diraja dalam negara dengan membawa perkara daripada Barat dalam konvensyen atau statut tertentu. 

Menurutnya, masalah-masalah politik yang timbul boleh dikurangkan jika adanya penyatuan ummah di mana sekali gus mengelakkan berlakunya pertembungan hingga memberi kelebihan kepada PH. 

Keadaan tersebut ujar Khairil, hanya akan mengulang kepada ketidakstabilan politik, sedangkan parti-parti teras Melayu-Islam mempunyai peluang untuk meraih kedudukan dua pertiga majoriti di Parlimen. 

“Maka perbincangan tentang siapakah Perdana Menterinya, siapakah Menterinya, itu semua akan ditentukan melalui jumlah kerusi dan CV ataupun capabilityyang ada kepada calon-calon kita.  

“Jadi pada saya polemiknya bukan lagi siapa Perdana Menteri, siapa parti yang akan memerintah, siapa Menteri-menteri Kabinetnya, siapa Timbalan Menterinya. Itu bukan isunya. Isunya sekarang ini menang dulu.  

“Ini menang pun tidak dah kita nak bincang perkara yang tak sepatutnya. Begitulah yang saya rasakan fokus dahulu kepada apa yang ada di depan iaitu pembahagian kerusi dan juga mengelakkan pertembungan tiga penjuru di kerusi-kerusi Parlimen,” jawabnya. 

Jurutera teknologis profesional itu pasti, sekiranya berlaku pertembungan di antara parti-parti Melayu-Islam, maka PH akan mendapat kuasa dan itu yang sedang diusahakan oleh koalisi tersebut. 

“Mereka mahu melaga-lagakan di antara PAS dan juga BERSATU. Dilaga-lagakan di antara BERSATU dan juga Umno. Mereka sedang melaga-lagakan di antara PAS dan juga Umno, kerana kedua-dua parti ini adalah parti lama, parti yang mempunyai teras yang kuat. 

“Tetapi sekiranya PAS dan Umno ini boleh bersetuju dalam beberapa perkara di dalam menghadapi PRU ke-15 ini, ia akan menjadi mimpi ngeri kepada PH dalam PRU15,” optimis beliau. – HARAKAHDAILY 23/9/2022

Advertisement