Sasaran program MSABA buat Muslim, bukan Muslim

Ahmad Marzuk hadir merasmikan Karnival Sambutan 40 Tahun Masjid Saidina Abu Bakar as-Siddiq (MSABA) 2022M/1444H, di Jalan Ara, Bangsar, Kuala Lumpur pada 23 Sept 2022. (FOTO HARAKAHDAILY/MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE)

Oleh: NORHANA MAT ZIN

KUALA LUMPUR: Sasaran bagi setiap program yang dijalankan di Masjid Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Bangsar (MSABA) adalah tertumpu kepada jemputan dalam kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam yang ada di kejiranan tersebut, persatuan penduduk, rukun tetangga, jemaah masjid dan surau zon 6, dan seluruh masyarakat Islam amnya.

Advertisement

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata demikian, sambil menambah bahawa Kebelbagaian fungsi dan aktiviti yang dijalankan di MSABA telah mencerminkan bahawa ia adalah sebuah tempat yang boleh disifatkan sebagai ‘one stop centre’.

Karnival Sambutan 40 tahun MSABA 2022M/1444H yang disempurnakan Ahmad Marzuk ini berlangsung dari 23 hingga 25 Sept 2022. (FOTO: HARAKAHDAILY/MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE)

“MSABA merupakan satu bukti bahawa walaupun ia telah ditelan usia tetapi momentum pengimarahannya masih segar dan makin berdaya saing,” ujarnya pada majlis perasmian Karnival Sambutan 40 Tahun MSABA 2022M/1444H di sini, hari ini.

Karnival yang berlangsung dari 23 hingga 25 September 2022 itu diadakan pihak MSABA dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan dan swasta, serta badan bukan kerajaan (NGO) telah mengadakan Karnival Sambutan 40 Tahun Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar (MSABA) 2022M/1444H pada 23 hingga 25 September 2022. 

 “Masjid ini (MSABA) juga telah menerima dan dinobatkan dengan pelbagai anugerah, Antaranya yang terkini adalah Anugerah Masjid Terbaik Standard Penarafan Masjid Malaysia (SPMM) Pengurusan Dinamik pada tahun 2020. 

Masjid Saidina Abu Bakar as-Siddiq yang terletak berhampiran kawasan perumahan dan kedai di Jalan Ara, Bangsar ini kini sudah mencecah usia 40 tahun.

“Kecemerlangan ini sudah tentunya hasil daripada pengembelengan tenaga, usaha kerjasama dan cetusan idea yang bersungguh-sungguh dari pelbagai pihak,” ujarnya. 

Yang turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah Operasi (JAWI), Tuan Haji Fadzil Abu Kasim; Timbalan Pengerusi Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar (MSABA), Prof. Emeritus Dr. Azman Awang; dan bekas Presiden Maldives, Maumooon Abdul Gayoom.

Program untuk masyarakat bukan Muslim yang tinggal di kejiranan berhampiran MSABA turut diadakan.

Selain itu, turut hadir juga ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai, Tuan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil; Pengarah Kanan, Sektor Pembangunan Ummah dan Wanita (YADIM), Ustaz Azhar Yahya; dan Pegawai Tadbir Agama Zon 6, Al-Fadhil Ustaz Mohd Faizul Mohd Razali. 

Sehubungan itu Ahmad Marzuk berkata, beliau yang mewakili pihak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa berusaha memastikan peranan institusi masjid sentiasa digerakkan secara lebih efektif dan efisien bagi menjana kecemerlangan umat Islam. 

“Hal ini kerana menjadi tanggungjawab kita semua sebagai umat Islam terutamanya masyarakat sekitar khususnya anak-anak kariah untuk mengurus dan mempelbagaikan kegiatan masjid dengan program kerohanian, fizikal dan intelektual bagi meningkatkan minda masyarakat dan melahirkan umat yang beriman, bertakwa dan progresif bagi menjamin kejayaan di dunia dan di akhirat,” jelasnya.

Tambah beliau, kepercayaan telah diberikan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sebagai agensi yang bertanggungjawab menguruskan institusi masjid di Wilayah Persekutuan.

Ahmad Marzuk meninjau sekitar Karnival 40 tahun MSABA 2022M/1444H pada 23 Sept 2022. (FOTO: HARAKAHDAILY/MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE)

Beliau berkata, hal ini dapat menjadikan institusi masjid dan surau di Wilayah Persekutuan adalah yang terbaik serta menjadi penanda aras untuk masjid dan surau di Malaysia amnya iaitu melalui komponen Standard Penarafan Masjid di Wilayah Persekutuan itu seperti pengurusan, pengimarahan, prasarana dan persekitaran.

Sehubungan itu, antara program dan aktiviti yang menarik yang diadakan di  Karnival Sambutan 40 Tahun MSABA adalah seperti jom fit, morning walk, lawatan masjid, pertandingan fotografi MSABA, pertandingan logo MSABA, sukaneka kanak-kanak, E- sukan dan pet zoo.

MSABA pernah meraih Anugerah Masjid Terbaik Standard Penarafan Masjid Malaysia (SPMM) Pengurusan Dinamik pada tahun 2020. 

Tidak ketinggalan pertandingan busana muslimah kanak-kanak, pertandingan azan kanak-kanak, pertandingan nasyid, pertandingan gubahan bunga, gerai /car boot sale, booth pameran, forum kenali MSABA, ceramah perdana, klinik persoalan tentang Islam, galeri 40 tahun MSABA, cerapan angkasa/ falak, majlis penyampaian sumbangan B40 Bangsar, seminar remaja, pemeriksaan kesihatan dan solat dengan bacaan qiraat.

“Adalah diharapkan agar akan menjadi pendayung kecemerlangan dan kematangan dalam usaha mewujudkan kemesraan dan mengeratkan saliturrahim dalam kalangan penduduk kepelbagaian bangsa dan agama di sekitarnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/9/2022